MBAS CYCLING TEAM SERTAI CITY RIDE ISLAND LOOP 2025

5 Januari 2025, Pulau Pinang – MBAS Cycling Team telah mengambil bahagian dalam acara tahunan yang dinanti-nantikan, “City Ride Island Loop 2025”, yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Acara kayuhan berprestij ini telah menyaksikan penyertaan lebih 800 pengayuh dari pelbagai latar belakang, termasuk peserta dari dalam dan luar negara dengan jarak keseluruhan 82KM.
 
MBAS Cycling Team yang terdiri daripada 7 orang pengayuh bersemangat tinggi menyertai acara ini dengan tujuan untuk menyokong inisiatif kesihatan awam serta mempamerkan semangat berpasukan. Pasukan ini turut mengambil kesempatan untuk berinteraksi dengan pengayuh lain, bertukar pengalaman, dan memperkukuh hubungan antara komuniti berbasikal tempatan dan antarabangsa.
 
Kayuhan City Ride Island Loop 2025 dimulakan dengan pelepasan peserta dari Lebuh Pantai tepat jam 7.00 pagi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow dan disaksikan oleh Datuk Bandar Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Ir. Rajendran A/L P. Anthony. Laluan yang merangkumi beberapa kawasan ikonik di Pulau Pinang, para peserta menikmati pemandangan indah sepanjang laluan yang meliputi kawasan Georgetown, Bayan Lepas, Balik Pulau, Batu Ferringhi, dan penamat di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.
 
Acara ini juga menjadi platform untuk MBPP memperkenalkan inisiatif bandar pintar dan mesra alam, serta menggalakkan penggunaan basikal sebagai alternatif pengangkutan yang lebih hijau.
Skip to content