LARIAN SEMPENA 100 TAHUN PEKAN RABU MERIAH DENGAN PENYERTAAN 1500 PESERTA
11 Januari 2025, Alor Setar – Kira-kira 1500 peserta memeriahkan acara larian sempena 100 Tahun Pekan Rabu yang diadakan bertempat di Dataran Pekan Rabu, semalam. Acara larian itu mendapat penyertaan dari dalam dan luar negeri melibatkan 2 kategori iaitu 10km dan 5km (Fun Run).
Acara pelepasan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan keusahawanan Negeri Kedah, Dato Salleh Saidin. Hadir sama EXCO Kepenggunaan, Kos Sara Hidup dan Belia & Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Hj. Mohd Yusri Hj. Md Daud; ADUN Derga, YB Muhammad Amri Wahab; Pengerusi Pekan Rabu Alor Setar, En. Shahrizal Zolkeple serta Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Kedah, Pn. Norzila Nayan.
EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan keusahawanan Negeri Kedah, Dato Salleh Saidin berkata program yang dianjurkan itu merupakan satu langkah yang sangat bijak dan kreatif. Selain meraikan ulang tahun ke-100 Pekan Rabu, sekaligus mempromosi pusat perniagaan yang sinonim dengan Kedah ini, ia juga secara tidak langsung turut mempromosi sektor pelancongan Kedah yang kini rancak dengan pelbagai aktiviti sempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025), ujar beliau ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Selain larian, Pekan Rabu juga turut menganjurkan Program Fiesta Pekan Rabu yang bermula sejak 9 Januari hingga 12 Januari 2025 dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik antaranya malam Pekan Rabu berselawat, tazkirah ringkas, pertandingan mewarna & ratu cilik, persembahan serta jualan vendor makanan viral.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'