MAJLIS PELANCARAN MAI SINGGAH ALOR SETAR LAGI DAN RUMAH KAYU TRADISIONAL
18 Januari 2025, Alor Setar – Bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri Kedah, Majlis Bandaraya Alor Setar telah melancarkan ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi’ bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Kedah 2025. ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi’ adalah satu program yang bertujuan untuk menonjolkan keindahan, keunikan, dan daya tarikan Bandaraya Alor Setar. Program ini menggabungkan elemen warisan, kebudayaan, dan inovasi moden untuk menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa untuk datang ke Alor Setar.
EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata sebagai bandar tertua di negara ini Alor Setar memiliki sejarah panjang yang membanggakan setiap rakyat Kedah. Dan sejarah itulah yang menjadi saksi pada berdiri megahnya warisan-warisan seperti Masjid Zahir, Balai Nobat, Balai Besar, Muzium Diraja, serta lokasi bersejarah lain yang mempunyai nilai tersendiri seperti Rumah Merdeka dan Rumah Kelahiran Tun Mahathir.
Tambah beliau, Bandaraya Alor Setar juga menawarkan tarikan-tarikan lain, termasuk Balai Seni, Pekan Rabu, Menara Alor Setar, dan banyak lagi, yang disokong oleh Gunung Keriang, Muzium Padi, Pusat Sains Negara, serta Kota Kuala Kedah, di pinggirnya.
“Semuanya adalah produk-produk pelancongan yang bernilai tinggi sama sebagaimana kekayaan seni budaya, alam semula jadi, gastronomi dan pelbagai lagi yang dimiliki oleh bandar raya ini.”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan yang diadakan bertempat di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.
Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Hj. Mohd Yusri Md Daud; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) mewakili Pegawai Daerah Kota Setar, Pn. Nurul Zaki Mohd Zainol; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) mewakili Pegawai Daerah Pokok Sena, Pn. Nurul Huda Shafee; Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil Noh dan Pengurus Besar Kedah Tourism, En. Azlizam Jaafar Siddik.
Dalam pada yang sama, MBAS turut melancarkan Rumah Kayu Tradisional Kedah yang terletak berhampiran di Medan Seni, Dataran Medan Bandar sebagai tarikan baharu di Bandaraya Alor Setar.
Menurut Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Hj. Mohd Yusri Md Daud berkata Rumah Kayu Tradisional Kedah tersebut dibina bagi memaparkan keunikan seni bina tradisional Kedah sebagai tarikan destinasi “Outfit Of The Day (OOTD)” buat para pelancong.
“Orang ramai dijemput datang untuk bergambar kenangan ke Rumah Kayu ini yang dibuka setiap hari dan boleh berurusan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar (PPPAS) yang terletak berhampiran di sini.”
“Selain itu, PPPAS juga akan menyediakan perkhidmatan sewaan busana-busana Melayu tradisional bagi sesiapa yang berminat untuk diperagakan semasa bergambar kenangan di Rumah Kayu ini. ujarnya”
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'