BAZAR RAMADAN | ASPEK KEBERSIHAN DAN KESELAMATAN PERLU DIBERI KEUTAMAAN
26 Februari 2025, Alor Setar – Para peniaga bazar Ramadan sentiasa diingatkan bertapa pentingnya aspek kualiti dan kebersihan bagi mencapai objektif untuk memastikan para peniaga memenuhi matlamat sebagai pengendali makanan yang baik.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya berkata semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dengan mengutamakan kebersihan di Bazar Ramadan menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba ini.
“Saya telah bertemu dengan peniaga-peniaga yang akan terlibat dengan bazar Ramadan di seluruh Bandaraya Alor Setar bermula minggu depan, dan saya juga telah berjumpa dengan saudara Nazri, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Kedah serta saudara Dino, Jawatankuasa GABEMA”.
“Jesteru, saya ingin mengajak semua para peniaga sempena dengan Ramadan ini untuk mengutamakan kebersihan dengan mengambil posisi dan tanggungjawab masing-masing dimana pun kita berniaga di Bandaraya ini.”
“Kita kumpul, kita buang di tempat yang telah disediakan. Apabila kita jaga kebersihan ini, ia akan mencerminkan Bandaraya kita.”
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama Bahagian Penguatkuasa MBAS di Dewan Persidangan Al-Wafa, Menara MBAS.
Tambah beliau lagi, pihak penguatkuasa MBAS diingatkan untuk bersama-sama membantu agensi terlibat, termasuk Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, dan Pejabat Kesihatan dalam memperketatkan pemantauan bagi memastikan aspek kebersihan, mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Selain itu, pihak penguatkuasa MBAS juga perlu bersama-sama membantu pihak pdrm, rela dan agensi keselamatan lain yang terlibat, dalam menjaga lalu lintas dan kacau ganggu, bagi memastikan kelancaran dan memudahkan para peniaga, serta pengunjung bazar Ramadan.
Orang awam turut diingatkan, agar meletakkan kenderaan pada petak parkir yang telah disediakan, bagi menggelakkan halangan lalu lintas.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'












