PENYUSUNAN SEMULA PENJAJA JALAN SULTANAH SAMBUNGAN | PERBINCANGAN MENGENAI BEBERAPA LOKASI PEMINDAHAN
16 April 2025, Rabu – Satu sesi perjumpaan bersama wakil-wakil peniaga di sepanjang Jalan Sultanah Sambungan telah diadakan bagi membincangkan penyusunan semula penjaja di sepanjang jalan tersebut berikutan sesi libat urus bersama penjaja yang telah diadakan pada minggu yang lalu.
Sebanyak tiga (3) lokasi pemindahan telah dicadangkan iaitu di tapak bersebelahan Medan Selera Taman Wira Mergong, tapak berhadapan Medan Selera Suka Menanti dan tapak berhampiran Dewan Orng Ramai, Blok A, Taman Wira Mergong.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata satu lawatan tapak akan diadakan pada minggu hadapan bagi pemerincian penyusunan semula tapak penjaja ini.
“Kita akan buat satu lawatan tapak bersama wakil-wakil peniaga pada minggu hadapan untuk melihat secara lebih terperinci penyusunan semula ini dan kita juga akan bekerjasama bersama pihak FAMA bagi membantu penyusunan penjaja di lokasi tapak bersebelahan Medan Selera Taman Wira Mergong untuk diselaraskan bersama penjaja-penjaja FAMA di kawasan itu’.
“Insya Allah, selepas itu kita akan memuktamadkan lokasi pemindahan penjaja ini dengan jumlah tapak yang bersesuaian”.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi perjumpaan itu di Dewan Mesyuarat Al-Wafa, Tingkat 8, Menara MBAS.
Dalam pada itu, beliau juga memohon kerjasama para peniaga di kawasan itu untuk menghantar borang permohonan kepada pihak MBAS bagi memudahkan pihak MBAS membuat penyusunan semula penjaja ini menjelang Mei 2025 untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan sistem perparitan oleh pihak JKR di kawasan Taman Wira Mergong.
Hadir sama di sesi pejumpaan itu ialah FAMA Kedah; SWCorp Kedah; Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM), YBrs. En. Mohd. Nazri Bin Kamaruzzaman; Mantan Ahli Majlis MBAS merangkap wakil peniaga Taman Wira Mergong, En. Kholed; En. Sajahan Zakaria daripada persatuan Ikhlas Kedah; Yang Di Pertua GAPEMA Kedah, Encik Baharudin PM Mohamed Ali; Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian MBAS serta wakil-wakil peniaga terlibat.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'