MBAS TERIMA KUNJUNGAN SAHABAT PBT MBJB
07 Mei 2025, Alor Setar – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menerima kunjungan mesra sahabat PBT Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan (Saliran & pengurusan Sungai) MBJB, Haji Mohd Fadzil Suhaimi Talibin, di sini, kelmarin. Lawatan kerja seramai 25 orang kakitangan MBJB itu telah disambut mesra oleh Pengarah Jabatan Korporat dan Strategik MBAS, En. Bohari Md. Yusof serta kakitangan Jabatan Kejuruteraan MBAS bertempat di Dewan Mesyuarat UTC Kedah, Aras 5, Bangunan UTC Kedah.
Objektif lawatan ini adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat dan idea mengenai pelaksanaan sistem pengurusan banjir oleh pihak MBAS. Satu sesi taklimat dari pihak MBAS berkaitan sistem pengurusan banjir MBAS telah disampaikan oleh Ketua Unit Bahagian Jalan, Lalulintas dan Perparitan MBAS, En. Md Nazri Bin Md Zain. Usai sesi pembentangan, turut diadakan lawatan tapak ke Projek Menaiktaraf Kolam Takungan di Taman pulai Jaya, Jalan Langgar.
Hadir sama Ketua Bahagian Pembangunan & Kerja Awam MBAS, En. Ahmad Sujairi bin Md. Hassan serta pegawai-pegawai terlibat.
Majlis Bandaraya Alor Setar mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru diatas kunjungan mesra ini dan diharap akan berjumpa lagi di masa yang akan datang. Semoga kunjungan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua PBT ke arah pembangunan Bandar Raya yang Berdaya Huni.