πŠπ„πŒπ„π‘πˆπ€π‡π€π πŠπ€π‘ππˆπ•π€π‹ π‡π€π‘πŒπŽππˆ πŠπ„π‹π”π€π‘π†π€ πŠπ”π‹πˆπŒ πŸπŸŽπŸπŸ“ π„π‘π€π“πŠπ€π π‰π€π‹πˆππ€π 𝐖𝐀𝐑𝐆𝐀 πŠπ”π‹πˆπŒ

31 Mei 2025 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dengan kerjasama Food Hunter telah mengadakan Karnival komuniti Keluarga 2025 bertempat di Taman Tasik Putra, Kulim.

Karnival yang berlangsung di Zon 03 ini dimulakan dengan ucapan aluan daripada Ahli Majlis Zon 03, Ustaz Mohd Iskandar Shah bin Ibrahim. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada pihak penganjur serta Yang Dipertua MPKK atas kelulusan dan sokongan penuh terhadap penganjuran karnival ini.

Beliau turut menekankan bahawa peluang melakukan kebaikan adalah satu nikmat yang harus disyukuri. Kebahagiaan hidup hanya akan hadir apabila kita menjaga hubungan dengan Allah SWT serta tidak melalaikan ibadah walau sesibuk mana sekalipun.

Majlis perasmian kemudiannya disempurnakan oleh Yang Dipertua MPKK, YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff. Dalam ucapannya, Dato’ YDP menegaskan bahawa karnival ini bukan sekadar program santai masyarakat, malah ia membawa tema dan misi besar dalam menyemai nilai-nilai kekeluargaan, perpaduan serta kesejahteraan dalam kalangan warga Kulim. Bertemakan β€œKesihatan, Kebudayaan dan Kesejahteraan Komuniti Ke Arah Kemampanan”.

Dato’ YDP turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas kelulusan peruntukan pelaksanaan program-program impak tinggi bersama komuniti seperti ini.

Dato’ YDP juga memaklumkan tentang penubuhan Jawatankuasa Bencana Zon Ahli Majlis oleh MPKK pada 18 Mei lalu sebagai langkah awal kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir dan tanah runtuh. Karnival ini turut menyaksikan sesi Hari Bertemu Pelanggan, memberikan peluang kepada warga Kulim untuk menyuarakan isu dan pandangan secara terus kepada pihak MPKK, mencerminkan komitmen keterbukaan serta keprihatinan pihak berkuasa tempatan terhadap komuniti.

Dalam majlis yang sama, MPKK telah menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik daripada agensi awam, swasta dan komuniti, termasuk rukun tetangga serta persatuan penduduk.

Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang program, termasuk Fun Run sejauh 5 kilometer yang berlangsung pada waktu malam, pameran Hot Wheels, pertandingan mewarna, serta pertandingan push bike yang menceriakan kanak-kanak. Kehadiran pelbagai agensi seperti PDRM, AADK, Pejabat Kesihatan Daerah Kulim, Pejabat Tanah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perkeso, Bank Muamalat, E-Idaman Sdn Bhd, Lembaga Zakat Negeri Kedah serta kaunter perkhidmatan MPKK turut menyerikan pameran dan aktiviti yang berlangsung.

Turut hadir memeriahkan karnival ialah Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK; Tuan Haji Badrol Hisam bin Mohd Yusof, Ketua Whip Ahli Majlis MPKK; Ahli-Ahli Majlis, Ketua-ketua Jabatan dan anggota MPKK.

MPKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang terlibat, para petugas, dan seluruh komuniti yang hadir memberikan sokongan luar biasa. Kehadiran komuniti sempena program ini membuktikan bahawa semangat muafakat dan kasih sayang terus subur dalam kalangan warga Kulim yang cintakan keamanan dan keharmonian.

Klik untuk gambar sekitar program

#KarnivalHarmoni

#KulimSejahtera

#MajlisPerbandaranKulim

#ExperienceKedah

#TheGreaterKedah

Skip to content