BICARA ASPIRASI DAN MOTIVASI THE GREATER KEDAH : MENJANA SEMANGAT, MEMACU PEMBANGUNAN




17 Jun 2025 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menganjurkan program Bicara Aspirasi dan Motivasi The Greater Kedah bersama Yang Berhormat Dr. Haim Hilman bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi bertempat di Dewan Bandaran Kulim.
Program ini bertujuan untuk memperkukuh semangat dan iltizam warga MPKK dalam usaha membangunkan daerah Kulim serta menyokong aspirasi pembangunan negeri Kedah yang terus berkembang pesat.
Program ini menjadi platform untuk mengukuhkan semangat, meningkatkan integriti dan profesionalisme di kalangan warga MPKK yang berperanan sebagai pemangkin kepada perubahan, bakal membentuk Kulim sebagai bandar yang lebih dinamik dan progresif.
Yang Berhormat Dr. Haim Hilman bin Abdullah, dalam ucapannya berkongsi aspirasi semangat gagasan The Greater Kedah.
“Kulim diharapkan bukan hanya menjadi tumpuan untuk peluang pekerjaan, tetapi juga menjadi destinasi untuk membina kehidupan yang lebih baik.”
YB Dr. Haim Hilman menegaskan bahawa kejayaan pembangunan Kulim memerlukan kerjasama yang erat antara pihak berkuasa tempatan, negeri, dan persekutuan.
“Pentingnya ilmu, iman, dan integriti dalam setiap langkah yang diambil dalam melaksanakan tugas dan amanah. Rasa tanggungjawab dan empati harus menjadi asas dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil. Keikhlasan dan kesungguhan adalah kunci untuk membina Kulim sebagai contoh terbaik pembangunan di Kedah dan negara.”
Dalam kesempatan ini, kesungguhan dan komitmen seluruh warga MPKK untuk mencapai impian menjadikan Kulim sebuah bandar yang mampan turut ditekankan. Dengan usaha bersama, setiap impian pembangunan akan dapat dicapai.
“Kulim akan terus berkembang, maju, dan menjadi kebanggaan bagi seluruh warga Kedah. Ini adalah langkah besar untuk memastikan legasi pembangunan yang akan dikenang oleh generasi akan datang.”
Turut hadir, Tuan Haji Badrol Hisam bin Ketua Whip Ahli Majlis MPKK, ahli-ahli majlis, ketua-ketua jabatan, serta warga kerja MPKK.
Terima kasih YB Dr. Haim Hilman atas ucapan yang penuh semangat dan membina.
Sokongan serta dorongan YB Dr. Haim Hilman amat kami hargai, kerana ia menjadi suntikan semangat buat kami untuk terus berkhidmat dengan lebih dedikasi.
Semoga hubungan kerjasama erat antara kepimpinan negeri dan MPKK akan terus utuh dan berkekalan demi kemajuan bersama dan kesejahteraan rakyat.
Klik untuk gambar sekitar program