LEBIH 1300 PESERTA MERIAHKAN UNIFI MENARA ALOR SETAR RUN 2025
28 Jun 2025, Sabtu – Lebih 1300 peserta dari seluruh negara telah memeriahkan acara larian UNIFI Menara Alor Setar Run 2025 yang berlangsung pagi tadi di Menara Alor Setar. Acara ini dianjurkan sempena Tahun Melawat Kedah 2025, bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat sambil mempromosikan keindahan dan daya tarikan pelancongan di negeri Kedah. UNIFI Menara Alor Setar Run 2025 ini melibatkan enam kategori larian berbeza termasuk Fun Run sejauh 5 kilometer yang menarik pelbagai lapisan masyarakat.
Acara pelepasan telah disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh EXCO Kepenggunaan, Kos Sara Hidup dan Belia & Sukan Negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din. Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil Noh turut hadir mengiringi YB Exco di acara pelepasan larian tersebut.
Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan turut memeriahkan acara, antaranya reruai pameran dari pelbagai agensi, pemeriksaan kesihatan percuma serta promosi dan pakej istimewa daripada pihak Unifi yang menarik minat orang ramai. MBAS selaku rakan strategik dalam program tersebut turut membuka reruai pameran mempromosikan “Mai Singgah Alor Setar Lagi”.
Turut hadir memeriahkan program ialah Yang Berhormat Muhammad Amri Abdul Wahab, ADUN Derga; Encik Ahmad Fairus bin Rahim, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM; Encik Rozhan bin Zainuddin, Naib Presiden Support Business TM; Puan Lily Jasmin Abd Halim, Presiden TIARANITA Nasional; Haji Kamaludin bin Mohsin, Ketua Biro Sukan Kelab Telekom Malaysia; Encik Ahmad Ridhaudin bin Zolkafli, Pengurus Besar Property Management serta barisan pengurusan tertinggi TM.
Dengan sambutan yang sangat menggalakkan, UNIFI Menara Alor Setar Run 2025 bukan sahaja berjaya menganjurkan acara sukan yang berprestij, tetapi juga sebagai platform pelancongan sukan yang mempromosikan negeri Kedah sebagai destinasi pelancongan di Tahun Melawat Kedah 2025.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'