PROJEK MEMBINA DAN MENAIKTARAF JETI KUALA KEDAH DIJANGKA SIAP SEPENUHNYA TAHUN 2027

30 Jun 2025, Isnin – Satu lawatan kerja ke tapak Projek Membina dan Menaiktaraf Jeti Kuala Kedah telah diadakan kelmarin bagi meninjau perkembangan terkini dan membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan kerja-kerja Meroboh, Membina dan Menaik Taraf Terminal dan Jeti Penumpang, Kargo dan Roro Kuala Kedah.
 
Lawatan kerja tersebut telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, YB Dato’ Haji Muhammad Yusoff@Munir Haji Zakaria; Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Timbalan Setiausaha (Pengurusan Projek), Bahagian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan (MOT), Pn. Rahidah Mohd; Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Projek Membina dan Menaiktaraf Jeti Kuala Kedah ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027 dengan menelan kos sebanyak RM248 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). Kemajuan terkini projek ini telah mencapai 19%, mendahului jadual asal sebanyak 1%, yang menunjukkan perkembangan positif bahawa projek ini dijalankan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
 
Terminal yang bakal siap dinaiktaraf nanti boleh menampung sehingga 3000 penumpang berbanding sebelum ini hanya mampu menampung 800 penumpang. Terminal ini juga bakal dilengkapi dengan kemudahan untuk 3 buah bot penumpang berkapasiti besar untuk berlabuh secara serentak, yang pastinya akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan terminal tersebut.
 
Sebagai sebuah projek yang amat penting untuk negeri Kedah, siapnya terminal ini dijangka akan menyumbang kepada kemudahan pengangkutan kepada orang ramai dan pelancong serta bakal memberikan impak yang besar yang memacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kedah.
 
 
Skip to content