SUKAN PBT KEDAH 2025 | MBAS BAKAL TAMPIL SEBAGAI ‘UNDERDOG’
2 Julai 2025, Rabu – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bakal tampil sebagai kontinjen ‘Underdog’ di Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah 2025 yang akan berlangsung pada 7-9 Julai 2025 di daerah Baling, Kedah dan Majlis Daerah Baling selaku tuan rumah.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata walaupun kontinjen MBAS bakal tampil sebagai ‘underdog’, MBAS tetap akan memberikan prestasi yang terbaik di kejohanan kali ini dalam mempertahankan kejuaraan.
“Kita akan turun sebagai kontinjen bukan pilihan dengan atlet sukan sedia ada yang berpengalaman tanpa bakat-bakat baru di kejohanan kali ini”.
“Namun kita tetap akan memberikan yang terbaik dengan membawa nama baik MBAS selaku juara bertahan di kejohanan ini. In Shaa Allah, saya akan berusaha memberikan insentif kepada semua atlet kita nanti”.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera buat kontinjen sukan MBAS yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Al-Aula, Ibu Pejabat MBAS pagi tadi. Di majlis tersebut Biro Sukan dan Rekreasi, Kelab MBAS turut menyampaikan insentif kepada pengurus-pengurus pasukan yang terlibat di kejohanan sukan itu nanti.
Dalam pada itu, Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil Noh turut menyampaikan kata-kata semangat kepada para pengurus pasukan MBAS.
“Kita telah melalui pelbagai perkara terutama dalam menghimpunkan para atlet yang akan mewakili setiap pasukan dan pelbagai cabaran yang dihadapi untuk kita memenuhi syarat-syarat dan telah ditetapkan.”
“Tapi alhamdulilah semua telah kita dapat selesaikan dan kita akan sama-sama memberikan cabaran yang terbaik dengan membawa maruah kita sebagai PBT terulung di negeri Kedah ini dan in Shaa Allah kita akan membawa nama baik kita kekal tinggi dalam ingatan semua pasukan yang akan bertanding bersama kita nanti.” ujarnya.
Sebanyak 9 acara sukan akan dipertandingkan di Kejohanan Sukan PBT Negeri Kedah Tahun 2025 iaitu acara Bola Sepak, Badminton, Sepak Takraw, Tenpin Boling, Bola Jaring, Dart, Karom, E-Sport dan Petanque.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'








