LUKISAN MURAL LORONG KERIANG, KAMPUNG ALOR MELONG TARIKAN TERBARU DI BANDAR RAYA ALOR SETAR

Alor Setar, 21 Julai 2025 (Isnin) – Lorong Keriang, Kampung Alor Melong, Alor Setar, yang dahulunya tercemar dengan sampah sarap, kini berubah menjadi salah satu tarikan terbaru untuk bergambar (OOTD) di bandar raya ini apabila menerima sentuhan kreativiti dari pelajar-pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi yang menghasilkan lukisan mural sepanjang 150 meter di kawasan itu.
 
Projek ini merupakan inisiatif Projek Eco Youth, yang digerakkan oleh Kolej Sultan Abdul Hamid, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar serta membentuk budaya hijau di kalangan para pelajar. Lebih 22 buah sekolah, institusi pendidikan AIU dan IPG telah mengambil bahagian dalam program ini. Projek ini juga turut mendapat tajaan penuh dari pengeluar cat terkemuka, Nippon Paint.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata MBAS menyokong penuh usaha ini yang memberi fokus kepada pendidikan alam sekitar kepada generasi muda.
 
“Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sentiasa menyokong penuh segala bentuk program pendidikan dan kesedaran alam sekitar, lebih-lebih lagi yang melibatkan penyertaan anak muda yang merupakan generasi pewaris masa depan”.
 
“MBAS juga percaya bahawa pemerkasaan belia dalam isu-isu kelestarian, perubahan iklim, dan penjagaan alam sekitar perlu dimulakan dari peringkat akar umbi. Maka, Projek Eco Youth ini adalah platform yang tepat bagi mendidik dan membentuk sahsiah generasi muda yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar mereka.”
 
“Bagi pihak MBAS, kami akan terus memberikan sokongan dalam bentuk kerjasama teknikal, logistik, serta penyediaan kemudahan dan sumber rujukan kepada mana-mana sekolah, institusi atau pertubuhan yang ingin melaksanakan projek-projek berorientasikan kelestarian alam sekitar”.
 
Beliau berkata demikian ketika hadir mengadakan lawatan ke projek mural (Eco Youth) di Lorong Keriang, Kampung Alor Melong, hari ini. Hadir sama ADUN Derga, YB Muhammad Amri Wahab; Pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid, En. Shamsulbadri Ishak; Pegawai-Pegawai MBAS, SWcorp Kedah serta guru-guru dan pelajar sekolah terlibat.
 
Lorong Keriang, Kampung Alor Melong, kini dijangka menjadi salah satu destinasi tumpuan yang bakal menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2025 dan kempen Mai Singgah Alor Setar Lagi.
 
Skip to content