OPERASI BERSEPADU PREMIS URUT | 3 WARGA ASING DITAHAN DAN 14 KOMPAUN DIKELUARKAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

Alor Setar, 31 Ogos 2025 (Ahad) – Kira-kira tiga warga asing ditahan serta 14 kompaun dikeluarkan dalam satu operasi bersepadu membabitkan beberapa premis urut di sekitar bandar raya Alor Setar, petang semalam.
 
Operasi bersepadu tersebut melibatkan seramai 42 orang Pegawai dan Anggota yang terdiri daripada Bahagian Penguatkuasaan MBAS bersama Bahagian Inspektorat MBAS, Bahagian Pelesenan MBAS, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEIK), Jabatan Imigresen Malaysia, dan Pejabat Daerah Kota Setar.
 
Dalam serbuan ke atas 13 buah premis yang terlibat, 6 daripadanya didapati telah beroperasi tanpa lesen dan pihak MBAS telah mengeluarkan sebanyak 14 kompaun atas pelbagai kesalahan dibawah Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Pusat Penjagaan Kesihatan (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah) 2019 dan Undang-Undang Kecil Iklan (Majlis Bandaraya Alor Setar) 2010.
 
Selain itu, 1 lelaki warga Bangladesh dan 2 wanita warga Thailand yang masing-masing merupakan pelanggan dan pekerja premis turut ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut kerana telah disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial.
 
Pihak MBAS sentiasa komited dalam bekerjasama antara agensi penguatkuasaan bagi memantau segala aktiviti perniagaan khususnya melibatkan premis urut serta dapat mengekang kegiatan yang tidak bermoral dalam kalangan masyarakat dan penduduk sekitar amnya.
 
Skip to content