21 Oktober 2025 – Perhimpunan Korporat Anggota dan Majlis Penutupan Program Penurunan Berat Badan I Fit and Eat Right (IFitEr) serta Penyampaian Sijil Pesara telah diadakan bertempat di Pekarangan Lobi MPKK.

Program IfitEr dengan penglibatan Ahli Majlis dan anggota MPKK telah diadakan bermula pada 27 Februari 2025 sehingga 25 Ogos 2025, menerusi anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan MPKK dengan kerjasama Wellness Hub Kulim.

Melalui Perhimpunan Korporat kali ini, sesi perkongsian daripada Dr. Liyanatul Najwa binti Zakaria, Pegawai Kesihatan Daerah Kulim menekankan bahawa kesihatan bermula daripada diri sendiri dengan konsep “Sihat Itu Saya”. Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, kadar obesiti rakyat Malaysia semakin meningkat dan ini sangat membimbangkan.

Beliau turut mengingatkan bahawa BMI normal bagi orang Asia adalah bawah 22.9 kg/m², maka penting untuk kita pantau berat badan sendiri agar kekal sihat dan terhindar daripada penyakit tidak berjangkit.

YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK, merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya menyempurnakan program IFitEr dengan cemerlang. Dengan harapan, program IFitEr ini dapat diteruskan pada tahun akan datang kerana ia selari dengan usaha MPKK dalam menitikberatkan aspek kesihatan dan kebajikan warga kerja.

Di samping itu, Dato’ Yang Dipertua turut menyeru semua anggota MPKK agar sentiasa terbuka untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan serta melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan menguasai perkembangan teknologi terkini.

Bagi meraikan Majlis Penutupan Program IfitEr, sesi penyampaian hadiah kepada anggota yang telah berjaya menurunkan berat badan telah disempurnakan dan diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada anggota yang bakal bersara sebagai tanda terima kasih atas jasa dan sumbangan sepanjang perkhidmatan. Tahniah dan selamat maju jaya diucapkan kepada semua!

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#perhimpunankorporat

#sihatitusaya

#WELLNESSHUBKULIM

Skip to content