45 KOMPAUN DIKELUARKAN DALAM OPERASI BERSEPADU PENJAJA DI KUALA KEDAH

Kuala Kedah, 18 Oktober 2025 (Sabtu) – Seramai 67 orang penjaja yang menjalankan perniagaan di Pantai Leman (Kota Marina) dan Port Padang Garam, yang menjadi tarikan terbaru para pengunjung di Kuala Kedah, telah diperiksa dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh pihak MBAS, petang semalam. Operasi ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan MBAS bersama Bahagian Inspektorat Kesihatan dan Bahagian Pasar dan Penjaja.
 
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 43 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan perniagaan penjaja tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai, MBAS 2010. Selain itu, dua (2) kompaun lagi turut dikeluarkan atas kesalahan tiada suntikan kesihatan.
 
Kehadiran pengunjung yang luar biasa di kawasan tersebut terutamanya pada waktu cuti hujung minggu telah mewujudkan peluang perniagaan kepada para penjaja kecil. Justeru, tindakan penguatkuasaan ini adalah bagi memastikan setiap penjaja yang berniaga mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh MBAS termasuklah dengan mempunyai lesen perniagaan, mendapatkan suntikan kesihatan, dan tidak meninggalkan peralatan perniagaan.
 
Tindakan ini adalah penting bagi memastikan kawasan perniagaan sentiasa bersih dan tidak dicemari dengan kekotoran yang boleh memberi imej negatif dan menjejaskan kesihatan awam.
Dalam pada itu, pihak MBAS ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini, seramai 26 orang peniaga telah pun memiliki lesen perniagaan yang sah. Borang permohonan lesen telah dimaklumkan sebelum ini kepada Ahli Majlis zon tersebut.
 
Susulan pemantauan mendapati limpahan penjaja di Port Padang Garam berada dalam keadaan tidak tersusun dan boleh menyebabkan gangguan lalu lintas. Sehubungan itu, pihak MBAS akan mengambil tindakan susulan untuk menyusun semula penjaja di kawasan tersebut. Langkah ini bertujuan memastikan aktiviti perniagaan berjalan dengan lebih teratur, kemas, dan bersih demi keselesaan awam.
 
 
Skip to content