




BALING, 4 November 2025 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah menghadiri Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2025 peringkat Negeri Kedah yang berlangsung dengan jayanya di Masjid Sultanah Bahiyah, Baling.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Darul Aman, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor. Turut hadir ialah YBhg. Datuk TPr Dr. Alias bin Rameli, Ketua Pengarah PLANMalaysia; YB Mejar (B) Mansor bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah; TPr Mohd Munizam bin Abdul Aziz, Pengarah PLANMalaysia Kedah; serta Encik Yazlan Sunardie bin Che Yahaya, Yang Dipertua Majlis Daerah Baling.
Dalam majlis tersebut, MPKK telah menerima pengiktirafan Bandar Mampan MURNInets dengan pencapaian 94.81%, sekali gus meraih tempat pertama di Negeri Kedah. Pengiktirafan yang disampaikan kepada YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK, ini mencerminkan kejayaan pelaksanaan dasar dan inisiatif mampan di Daerah Kulim. MPKK turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, jabatan teknikal dan pembekal data yang telah memberikan kerjasama serta sokongan dalam menjayakan usaha ini.
Selain itu, MPKK turut menerima pengiktirafan Smart City Early Adopter sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dalam pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Kulim, sejajar dengan aspirasi Kedah 2035 dan Smart Nation 2040.
Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada MPKK untuk terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif perancangan bandar yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Majlis ini telah dianjurkan dengan kerjasama PLANMalaysia Kedah, Majlis Daerah Baling dan Pengurusan Masjid Sultanah Bahiyah, Baling.