

04 November 2025 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah mengadakan Sesi Libat Urus dan Penerangan Pelaksanaan Senarai Nilaian Baharu 2025 yang bertujuan memberi penerangan terperinci mengenai pelaksanaan senarai nilaian baharu yang akan menjadi asas kepada penilaian cukai taksiran bagi tahun 2025.
Langkah ini sejajar dengan Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kedah bertarikh 16 Oktober 2025, di bawah Seksyen 137 dan Seksyen 141 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), yang mewajibkan pihak berkuasa tempatan menyediakan Senarai Nilaian Baharu setiap lima tahun.
Sesi ini dihadiri oleh YB Mejar (B) Mansor Bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan; YB Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah binti Haji Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan yang juga ADUN Merbau Pulas; YB Encik Khairul Anuar bin Ramli, ADUN Lunas; Encik Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi, Pegawai Daerah Kulim; barisan Ahli-Ahli Majlis MPKK, wakil-wakil pihak berkepentingan, rakan-rakan media serta ketua jabatan dan anggota MPKK yang terlibat.
Sesi libat urus dimulakan dengan ucapan YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK seterusnya tayangan video penerangan pelaksanaan Senarai Nilaian Baharu 2025 (Cukai Taksiran) serta diikuti oleh sesi taklimat yang disampaikan oleh PMgr. Sr. Fauziah binti Abdul Mutalib, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPKK dan seterusnya sesi soal jawab.
Penilaian semula ini dilaksanakan bagi memastikan kadar cukai taksiran mencerminkan nilai pasaran sebenar hartanah dan pada masa yang sama menjamin keadilan kepada semua pemilik harta.
MPKK komited melaksanakan Senarai Nilaian Baharu 2025 bagi memastikan keadilan dalam pengenaan cukai taksiran serta mengekalkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan perbandaran. Pelaksanaan ini dilaksanakan secara telus dan berhemah demi kesejahteraan masyarakat serta kelestarian pembangunan bandar Kulim.
Berbeza dengan sistem lama yang menggunakan asas Nilai Tahunan (kadar sewa setahun), Senarai Nilaian Baharu 2025 menggunakan asas Nilai Tambah (Improved Value) iaitu penilaian berdasarkan nilai pasaran semasa hartanah tahun 2024.
Kadar cukai baharu ini adalah jauh lebih rendah berbanding kadar lama. Sebagai contoh, kadar bagi kediaman hanya 0.12%, kediaman kos rendah 0.10%, perniagaan 0.20% dan industri 0.30%, berbanding kadar lama antara 2% hingga 12% berdasarkan sistem tahun 1984.
Pelaksanaan ini bukan bertujuan meningkatkan beban cukai, tetapi bagi menyeragamkan kadar secara adil dan munasabah, di samping menambah baik perkhidmatan bandar seperti penyelenggaraan jalan, longkang, lampu jalan, kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam; penyelenggaraan taman rekreasi dan kemudahan awam serta projek pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan penduduk.
Pemilik harta yang menerima Notis Senarai Nilaian Baharu boleh mengemukakan bantahan bertulis sehingga 23 November 2025, mengikut peruntukan Seksyen 141(1), Akta 171. Semua bantahan akan disemak dan dipertimbangkan secara telus melalui Sesi Pendengaran Bantahan yang akan dilaksanakan pada pertengahan bulan Disember 2025 akan datang.
MPKK menzahirkan komitmen untuk memastikan pelaksanaan ini berjalan lancar dengan penuh ketelusan dan dengan prinsip keadilan sosial serta berorientasikan kesejahteraan warga penduduk dan Kulim demi penyampaian perkhidmatan perbandaran yang terbaik, dan sejahtera untuk semua.
MPKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepada semua pihak yang hadir dan memberikan komitmen dalam menjayakan sesi ini.
Kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, pemimpin masyarakat, rakan media dan komuniti setempat amat penting dalam memastikan dasar tempatan dilaksanakan dengan berkesan dan berpaksikan rakyat.