SULTAN KEDAH BERKENAN MERASMIKAN URBAN FOREST 1 DI DATARAN MEDAN BANDAR, ALOR SETAR

Alor Setar, 27 Oktober 2025 (Isnin) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff mencemar duli berangkat hadir merasmikan Urban Forest 1 di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.
 
Turut berangkat, DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah; DYTM Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah; DYAM Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah merangkap Presiden Jemaah Dato’ Negeri Kedah; DYAM Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah dan YTM Tunku Bendahara Kedah bersama YTM Toh Puan Bendahara Kedah.
 
Projek Urban Forest 1 merupakan inisiatif di bawah pimpinan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah selaku Presiden Jemaah Dato’ Negeri Kedah, sebagai usaha menjadikan Kedah negeri hijau dan lestari melalui konsep “bandar di dalam taman”, mewujudkan ruang hijau yang memberi keseimbangan ekologi dan keceriaan kepada penduduk bandar. Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama Jemaah Dato’ Negeri Kedah, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Kerajaan Negeri Kedah, dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan serta pihak swasta.
 
Hadir sama di majlis tersebut Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta isteri, Datin Seri Norhasni Ishak; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang; Naib Presiden 2 JDNK, Dato’ Cheah Soon Hai dan Setiausaha JDNK, Dato’ Mohamad Che Nai.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya bersama pihak pengurusan MBAS turut hadir di majlis tersebut.
 
 
Skip to content