KPDN KEDAH LANCAR 'PROGRAM PASAR PATUH' DI PASAR AWAM POKOK SENA, KEDAH

Pokok Sena, 30 Oktober 2025 (Khamis) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah telah mengambil langkah proaktif dalam mendekati peniaga-peniaga melalui pelaksanaan Program Pasar Patuh 2025 peringkat Negeri Kedah yang diadakan bertempat di Pasar Awam Pokok Sena.
 
Pengarah KPDN Negeri Kedah, Encik Muhammad Nizam Jamaludin berkata Program Pasar Patuh merupakan salah satu inisiatif KPDN untuk memperkukuh budaya pematuhan perniagaan, sekali gus memastikan ekosistem perdagangan negara kekal kondusif, berintegriti dan telus.
 
“Program ini berfungsi sebagai payung kepada beberapa inisiatif utama KPDN yang bertujuan membina persekitaran perniagaan yang tersusun, beretika dan memberi perlindungan optimum kepada pengguna. KPDN juga ingin menekankan pendekatan kawalan kendiri dalam kalangan peniaga agar pematuhan terhadap undang-undang perdagangan dapat dicapai secara menyeluruh dan berterusan.”
“Melalui inisiatif itu, peniaga perlu sentiasa meletakkan tanda harga dan label barangan jualan mereka dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.”
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Program Pasar Patuh 2025 Peringkat Negeri Kedah yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya. Hadir sama di majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah Pokok Sena, Encik Mohd Zainul Fitri Dato’ Haji Mat Noh; pegawai-pegawai rakan strategik utama program dari MBAS, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Syarikat Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd.
 
Tambah beliau lagi, Pasar Awam Pokok Sena telah dipilih sebagai lokasi projek rintis pertama sebelum program itu diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.
“Di peringkat Negeri Kedah, Pasar Awam Pokok Sena telah menjadi pasar pertama dalam projek rintis untuk Program Pasar Patuh. Program ini dimulakan dengan penyelarasan tindakan bersama beberapa agensi seterusnya pelaksanaan sesi advokasi kepada para peniaga. Program Pasar Patuh dimulakan di satu pasar awam di setiap negeri sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.”
“Dengan pelaksanaan berfasa dan sokongan padu semua pihak, Program Pasar Patuh dijangka menjadi pemangkin transformasi perdagangan negara yang lebih berintegriti, telus dan mesra pengguna,” ujarnya.
 
 
Skip to content