GOTONG-ROYONG CEGAH WABAK DENGGI DI FLAT INSANIAH
Alor Setar, 30 Oktober 2025 (Khamis) – Program Gotong-Royong Cegah Wabak Denggi yang telah dilaksanakan di Flat Insaniah, Alor Setar oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Environment Idaman Sdn. Bhd., SWCorp Cawangan Alor Setar, RELA, serta komuniti setempat.
Program ini diadakan susulan laporan dua (2) kes denggi di kawasan berkenaan dan bertujuan untuk membersihkan persekitaran, menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, serta memupuk budaya kebersihan dan kesedaran kesihatan awam dalam kalangan penduduk.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pembersihan longkang, kutipan sampah, penghapusan bekas takungan air, serta pemeriksaan rumah ke rumah oleh petugas kesihatan dan sukarelawan.
Program ini berjalan dengan lancar dan berjaya meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan menjaga kebersihan sebagai langkah pencegahan utama dalam membendung penularan wabak denggi.
Tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan MBAS dalam mempromosikan kesihatan awam serta mewujudkan persekitaran yang sihat, selamat dan kondusif ke arah menjadikan Alor Setar sebagai Bandaraya Berdayahuni.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'



