MBAS TERIMA 3,000 MAKLUMBALAS/BANTAHAN PENILAIAN SEMULA CUKAI TAKSIRAN DARI PERSATUAN ORANG CINA KEDAH
Alor Setar, 5 November 2025 (Rabu) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hari ini menerima serahan bantahan penilaian semula cukai taksiran daripada Dewan Perhimpunan Cina Kedah dan Persatuan Kebajikan Orang-Orang Tionghua Simpang Empat, yang melibatkan kira-kira 3,000 pemilik pegangan. Dengan penyerahan tersebut, jumlah keseluruhan maklum balas atau bantahan yang diterima oleh MBAS setakat jam 10.00 pagi ini telah mencecah angka kira-kira 20,000, menandakan penglibatan aktif pemilik pegangan bandar raya dalam proses tersebut.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Hj. Abdul Gafar Yahya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Pemilik Pegangan dalam Bandar Raya Alor Setar yang mengambil bahagian dalam proses penilaian semula cukai taksiran ini.
“Kami telah menerima kira-kira 17,000 bantahan dalam sistem setakat tadi, dan dengan tambahan 3,000 bantahan ini, jumlah keseluruhan kini mencecah 20,000. Kami akan memberikan pemakluman lanjut mengikut kategori dan data berkaitan bantahan ini,” jelas beliau.
Mengulas mengenai proses seterusnya, beliau menyatakan bahawa hari ini merupakan hari terakhir yang diperuntukkan oleh undang-undang untuk sesi bantahan. Selepas ini, pihak MBAS akan mengadakan sesi pendengaran awam, di mana proses pendengaran ini akan dilaksanakan mengikut kes (case by case). Segala maklumbalas kemudiannya akan diangkat semula kepada Pihak Berkuasa Negeri atau Kerajaan Negeri.
Datuk Bandar turut menegaskan bahawa pihak MBAS, termasuk pegawai dan pengarah, sentiasa mengikuti perkembangan ini setiap hari, dan mengalu-alukan pandangan yang diberikan oleh pemilik pegangan.
“Saya suka menggunakan istilah maklum balas ataupun pandangan daripada penduduk. Seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar kemarin bahawa sekarang masa bantahan, jadi berilah pandangan.”
“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua warga bandar raya yang memberi pandangan maklum balas atau bahasa undang-undangnya bantahan kepada proses penilaian semula cukai taksiran atau cukai pintu Majlis Bandaraya Alor Setar yang telah kita tidak laksanakan sejak 32 tahun yang lalu, ujarnya.”
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'

