

30 November 2025 – Mesyuarat Majlis Penuh Bil. 11/2025 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama MPKK dan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK. Dalam mesyuarat ini, Dato’ YDP melalui ucapan aluan pengerusi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) atas lawatan rasmi ke Majlis Perbandaran Kulim serta perasmian Kulim Intelligent Command Centre (KICC) pada 16 November 2025 yang lalu.
Dato’ YDP juga merakamkan penghargaan khusus kepada YBrs. Tuan Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi, Pegawai Daerah Kulim, atas kepimpinan beliau dalam menguruskan insiden bencana banjir baru-baru ini. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas tindakan segera menangani kemungkinan risiko kemalangan jiwa serta kerosakan infrastruktur. Ucapan terima kasih dan tahniah turut diberikan kepada Ahli-Ahli Majlis serta komuniti setempat yang bersama-sama turun padang membantu menguruskan situasi banjir tersebut.
Mesyuarat diteruskan dengan Taklimat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Tuan Wai Chee Kong, sebelum berlangsungnya Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis. Pada sesi ini, Tuan Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis MPKK.
Seterusnya, mesyuarat diteruskan dengan pengesahan minit mesyuarat serta pembentangan laporan dan kertas kerja merangkumi pentadbiran, kewangan, kemudahan awam, perancangan pembangunan, prestasi pengurusan aduan, serta beberapa cadangan promosi dan inisiatif untuk tahun akan datang bagi meningkatkan mutu perkhidmatan MPKK kepada masyarakat.
MPKK kekal komited dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memastikan pembangunan yang mampan demi kesejahteraan komuniti Kulim.