





Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) sekali lagi menzahirkan komitmen sebagai institusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berdaya saing dan berwibawa apabila diberi penghormatan menyertai Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, satu pentas strategik berprestij di peringkat nasional.
Mewakili suara PBT dalam arus Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), penyertaan MPKK menandakan kedudukan proaktif organisasi ini dalam melaksanakan penambahbaikan sistematik terhadap proses penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien, responsif dan berfokuskan rakyat.
Konvensyen yang dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, mengangkat mesej yang jelas, reformasi mesti diterjemah kepada hasil yang boleh diukur dan berimpak langsung kepada rakyat. Dalam konteks itu, MPKK tampil mempersembahkan komitmen jitu menerusi pelaksanaan projek RKB berimpak tinggi di peringkat tempatan.
Dengan pendekatan berasaskan data dan pemikiran reka bentuk semula proses (process redesign), MPKK membawa pembaharuan yang selaras dengan matlamat nasional untuk memperkukuh daya saing, mengurangkan beban pematuhan dan mempercepat akses rakyat kepada perkhidmatan teras kerajaan.
MPKK bukan hanya sekadar menyertai, tetapi menzahirkan kepimpinan transformasi pada barisan hadapan reformasi perkhidmatan awam negara.
Penyertaan ini bermula pada 6 Disember 2025, 8.30 pagi hingga 12.35 Tengah Hari dan pada 7 Disember 2025 bermula 8.30 pagi hingga 10.30 pagi, bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya.