Lawatan Rasmi dan Sesi Soal Jawab Bersama Pelabur Projek Delapan

01 Jun 2025 (Ahad) – Satu lawatan rasmi ke tapak projek Delapan telah diadakan hari ini bagi meninjau perkembangan semasa serta mengadakan sesi soal jawab bersama para pelabur strategik. Lawatan ini bagi menunjukkan komitmen berterusan terhadap pembangunan ekonomi dan pelaburan di Kedah.

Antara yang turut serta dalam lawatan ini termasuklah Menteri Kewangan II, YB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang mengetuai delegasi kerajaan Persekutuan. Beliau diiringi oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSUK) Kedah, YBhg Dato’ Hj Fauzi Mustaffa, serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), YBhg Datuk Dr Sharazat Hj Ahmad, yang turut memberikan pandangan mengenai hala tuju pelaburan strategik di kawasan tersebut.

Turut hadir ialah Pengarah Kastam Negeri Kedah, Wan Marini Wan Hamzah, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran urusan logistik dan perdagangan rentas sempadan, sejajar dengan peranan projek Delapan sebagai hab pembangunan ekonomi yang signifikan. Selain itu, turut juga hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Tuan Badrulhisham Bin Haji Sulaiman turut hadir sebagai wakil daripada Pihak Berkuasa Tempatan Kubang Pasu.

Lawatan ini turut merangkumi pembentangan kemajuan projek, taklimat oleh pihak pemaju, serta sesi soal jawab terbuka bersama pelabur untuk membincangkan potensi dan cabaran pelaksanaan projek. Para tetamu yang terlibat turut menzahirkan sokongan penuh kerajaan dalam memastikan projek ini berjaya dan memberi manfaat ekonomi kepada rakyat serta pelabur.

Projek Delapan, yang merupakan antara inisiatif berimpak tinggi di utara Semenanjung, dijangka membuka peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan daya saing negeri Kedah sebagai destinasi pelaburan utama negara.

🖱 Portal : https://pbt.kedah.gov.my/…/majlis-perbandaran-kubang-pasu/

📱 Twitter : https://twitter.com/mpkubangpasu

📲 Instagram : https://www.instagram.com/majlisperbandarankubangpasu/

💻Facebook : https://www.facebook.com/MPKubangpasu

📱 WhatsApp Aduan : https://wa.link/c38jh1

Skip to content