14 Januari 2026 – PBT TPHTK: Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim (PBT TPHTK) berlangsung dengan penuh tertib, menandakan permulaan amanah serta tanggungjawab baharu yang digalas, bagi Penggal 2026/2027 di Bilik Mesyuarat Utama PBT TPHTK di sini, hari ini.
Seramai 22 Ahli Majlis telah melafazkan ikrar penerimaan jawatan, diikuti dengan Perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972 dimulakan YBhg. Puan Sunita Abdul Aziz, Yang Dipertua PBT TPHTK dan diikuti Ahli Majlis yang diketuai oleh Tuan Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi, Pegawai Daerah Kulim.
PBT TPHTK berharap pelantikan ini dapat dipikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab, di samping menyumbangkan pandangan serta idea yang konstruktif demi memperkukuh prestasi dan kecemerlangan pentadbiran PBT TPHTK.
Pada masa yang sama, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada semua Ahli Majlis Penggal 2024/2025 atas dedikasi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh perkhidmatan bersama PBT TPHTK.
Sejurus selepas majlis angkat sumpah, satu Mesyuarat Pengurusan Tertinggi PBT TPHTK Bilangan satu (1) tahun 2026 telah diadakan sebagai platform perbincangan awal bagi menyelaras hala tuju pentadbiran, keutamaan strategik serta pelaksanaan dasar bagi penggal baharu.
