







14 Januari 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Taitung County Government dan JCI East Taiwan yang diketuai oleh Madam Yao Ching Ling, Taitung County Magistrate.
YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan dalam ucapan alu-aluanya, merakamkan ucapan penghargaan atas kunjungan hormat daripada pihak Taitung County Government.
Kunjungan rasmi delegasi Taitung County Government dan JCI East Taiwan ini menandakan satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa dan membuka ruang kepada pertukaran idea serta amalan terbaik dalam tadbir urus bandar.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh TPr. Mohammad Fadhlan bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Perancangan dan Landskap MPKK, yang memperincikan inisiatif E10 sebagai teras utama pembangunan bandar pintar dan mampan di daerah Kulim.
Seterusnya, taklimat komprehensif berkaitan fungsi dan peranan Kulim Inteligent Command Centre (KICC), merangkumi aspek pemantauan bandar secara pintar serta integrasi sistem digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan bandar.
Delegasi dibawa melawat ke Kawasan Rekreasi Sungai Sedim, salah satu destinasi ekopelancongan unggul di daerah Kulim. Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada para tetamu menikmati keindahan semula jadi, malah turut diserikan dengan aktiviti penanaman pokok sebagai simbol komitmen bersama terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian hijau.
Kunjungan ini turut dihadiri oleh Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK, pihak JCI Kulim serta barisan pengarah serta pegawai MPKK.