PEMBANGUNAN PROJEK KEDAH AEROTROPOLIS (KXP)

Majlis Perbandaran Sungai Petani menerima kunjungan rasmi daripada KXP Airport City bagi tujuan membawa hasrat serta perbincangan lanjutan ke arah memastikan kelancaran Projek Kedah Aerotropolis (KXP) di dalam Daerah Kuala Muda. Bersama-sama Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah ialah Setiausaha MPSPK Mohammad Hasbullah Bin Abd. Hadi dan Pengarah-Pengarah Jabatan MPSPK.

Kunjungan tersebut membincangkan perancangan Pelan Induk yang telah disediakan sebagai panduan utama pembangunan jangka panjang bagi memastikan penyelarasan fungsi, fasa pembangunan dan penggunaan tanah yang optimum dalam membangunkan 3 komponen utama KXP.

Hasil perbincangan ini menekankan fokus pembangunan KXP yang merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Kedah dan wilayah Utara khususnya. Disamping itu dapat menarik pelaburan asing dan domestik, khususnya sektor aeroangkasa, logistik dan pembuatan berteknologi tinggi sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan baharu merentasi pelbagai sektor.

Perbincangan yang diadakan telah memperkukuh persefahaman serta kerjasama strategik antara Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan pihak KXP Airport City dalam menjayakan pembangunan Projek Kedah Aerotropolis (KXP). Kesepakatan terhadap Pelan Induk yang dibentangkan menjadi asas penting bagi memastikan pembangunan projek ini dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan selari dengan perancangan pembangunan daerah Kuala Muda.

Diharapkan melalui kolaborasi berterusan ini, Projek Kedah Aerotropolis (KXP) akan muncul sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri Kedah dan wilayah Utara, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu. Usaha ini juga diyakini mampu meningkatkan daya saing negeri di peringkat nasional dan antarabangsa sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan negara.

Klik untuk gambar sekitar program

Skip to content