




21 Januari 2026 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah menerima lawatan delegasi daripada Kulim Technology Park Corporation (KTPC) yang diketuai oleh Cik Aida Zainol Abidin, Ketua Pegawai Operasi bagi membincangkan perkara berkaitan E10 plus dan Kulim Industrial Corridor, di samping lawatan teknikal ke Kulim Intelligent Command Centre (KICC).
Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik serta mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung perancangan dan pembangunan kawasan perindustrian di Kulim.
Mesyuarat perbincangan telah dipengerusikan oleh Puan Noorul Azyyati Binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK dan sesi pembentangan telah disampaikan oleh TPr Mohammad Fadhlan Bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Perancangan dan Landskap.
Pembentangan tersebut merangkumi perancangan pembangunan E10, hala tuju Kulim Industrial Corridor, serta inisiatif perancangan mampan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di kawasan Kulim.
Seterusnya, taklimat komprehensif diberikan mengenai fungsi dan peranan KICC, yang merangkumi aspek pemantauan bandar secara pintar serta integrasi sistem digital untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan bandar. Kunjungan ke KICC turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Dato’ Elmi Bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK.
Secara keseluruhannya, lawatan ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan diharap dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat antara pihak KTPC dan pihak berkuasa tempatan dalam memperkasa pembangunan Kulim sebagai hab industri dan teknologi yang berdaya saing.