
15 Februari 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan Perhimpunan Korporat Anggota bertempat di Perkarangan Lobi MPKK. Perhimpunan ini menjadi wadah penting dalam memperkukuhkan semangat kebersamaan serta mempertingkatkan komitmen warga MPKK dalam melaksanakan amanah perkhidmatan kepada masyarakat.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Negeri Kedah dan Lagu Perkhidmatan Awam, seterusnya bacaan ikrar serta doa sebagai simbol kesatuan dan iltizam seluruh warga MPKK terhadap nilai integriti, disiplin serta tadbir urus yang telus.
Dalam ucapan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Dato’ Haji Elmi bin Yusoff terlebih dahulu merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada anggota Protege MPKK yang telah bertungkus lumus sepanjang tempoh berkhidmat di MPKK, khususnya dalam membantu menjayakan proses penilaian semula Cukai Taksiran MPKK. Sumbangan serta komitmen yang diberikan amat dihargai dan menjadi pemangkin kepada kelancaran pelaksanaan tugas organisasi.
Dato’ Yang Dipertua seterusnya menekankan persediaan MPKK dalam menyambut kepulangan anak perantau ke kampung sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina serta ketibaan Awal Ramadan. Sehubungan itu, Dato’ Yang Dipertua menyeru agar semua jabatan memberi perhatian khusus terhadap aspek kebersihan daerah serta memastikan landskap Bandar Kulim sentiasa berada dalam keadaan segar, kemas dan terpelihara.
Dato’ Yang Dipertua turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota MPKK serta Ahli Majlis yang terlibat dalam pengurusan isu kebakaran di Tapak Pelupusan Sisa (TPS) Padang Cina yang kini menunjukkan perkembangan semakin baik hasil kerjasama bersepadu semua pihak.
Selain itu, ucapan turut menyentuh kejadian hujan ribut yang berlaku pada 14 Februari 2026. Dato’ Yang Dipertua menzahirkan penghargaan kepada pegawai dan anggota yang bertindak pantas dalam kerja-kerja pengurusan pokok tumbang serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat terus terjamin.
Selaras dengan itu, semua Pengarah Jabatan diingatkan supaya sentiasa bersiap siaga bersama anggota masing-masing dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang tempoh cuti perayaan, demi memastikan perkhidmatan MPKK kekal berfungsi secara cekap, responsif dan berkesan.
Perhimpunan Korporat ini mencerminkan komitmen berterusan MPKK dalam memastikan Bandar Kulim sentiasa bersih, selamat dan sejahtera untuk semua.