MAJLIS PERBARISAN PENGUATKUASA SERTA MAJLIS BACAAN YASIN DAN SOLAT HAJAT MBAS SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-22 BANDAR RAYA ALOR SETAR

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH

Alor Setar, 31 Disember 2025 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menganjurkan Majlis Perbarisan Penguatkuasa serta Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat sempena sambutan Ulang Tahun Ke-22 pengisytiharan Alor Setar sebagai sebuah Bandar Raya.

Acara perbarisan yang diadakan di perkarangan Ibu Pejabat MBAS telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Yang Berhormat Mejar (B) Mansor Zakaria dengan melakukan pemeriksaan barisan bagi menghargai komitmen dan kesiapsiagaan anggota penguatkuasa dalam menggalas amanah di lapangan. Mengiringi beliau ialah Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya dan Ketua Bahagian Penguatkuasaan MBAS, En. Ahmad Syaher Abu Bakar.

Sejurus tamat upacara perbarisan, majlis diteruskan dengan pengisian kerohanian melalui bacaan Yasin dan Solat Hajat yang diadakan di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah. Bacaan Yasin dan Solat Hajat tersebut telah dipimpin oleh Ustaz Halimuddin Ahmad, Imam Masjid Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah. Program ini bermatlamat untuk memohon perlindungan dan keberkatan buat seluruh warga kerja dan warga bandar raya Alor Setar bagi kesejahteraan pada masa hadapan.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Tuan Setiausaha MBAS, En. Mohamad Shahuri bin Mohamad Norlin; Timbalan Setiausaha, Encik Azlizam Jaafar Sidik, barisan pengarah, ketua bahagian, ketua unit dan kakitangan MBAS.

Bermula dari sebuah Badan Kebersihan Bandar atau “Sanitary Board” pada tahun 1905, pentadbiran Bandar Alor Setar bertukar kepada “Lembaga Bandaran Kota Setar” pada tahun 1958 yang kemudiannya dinaikkan taraf sebagai “Majlis Daerah Kerajaan Tempatan Kota Setar” pada Mac 1976, sekali lagi dinaiktaraf sebagai “Majlis Perbandaran Kota Setar” pada Februari 1978 dan akhirnya pada tanggal 28 November 2003 bersamaan 04 Syawal 1424H, bandar Alor Setar telah diisytiharkan sebagai Bandar Raya Alor Setar ke-9 dengan gelaran Majlis Bandaraya Alor Setar selepas bandaraya-bandaraya Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching Utara, Kuching Selatan, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Shah Alam dan Melaka Bersejarah.

MBAS akan terus komited ke arah memberikan perkhidmatan yang efisien dan efektif dengan misi kecemerlangan Majlis Bandaraya Alor Setar yang mapan berteraskan organisasi berkualiti, inovatif, responsif dan komited kepada pembangunan lestari untuk mencapai Perbandaran Berdayahuni 2035.

 
Skip to content