24 Februari 2026 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) hari ini telah mengadakan Mesyuarat Majlis Penuh Bil. 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Yang Dipertua.

Mesyuarat dimulakan dengan Majlis Mengangkat Sumpah Dan Menandatangai Watikah Pelantikan Ahli Majlis oleh YBrs. Tuan Mohamad Rizal Bin Mohamad Radzi, Tuan Pegawai Daerah yang secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis MPKK bagi sesi 2026-2027.

Seterusnya, Ahli-Ahli Majlis turut menyempurnakan Sesi Lafaz Ikrar dan Menandatangani Buku Ikrar Iltizam Ahli Majlis sebagai simbol komitmen terhadap amanah, integriti dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

Dalam ucapan aluan, Dato’ Yang Dipertua menzahirkan penghargaan kepada seluruh Ahli Majlis serta pegawai kawasan atas komitmen berterusan dalam memperkukuh tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. Penekanan turut diberikan terhadap pemerkasaan integriti, pelaksanaan mesyuarat tanpa kertas (paperless), serta usaha reformasi kerenah birokrasi, khususnya melibatkan proses permohonan lesen bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra pelanggan.

Mesyuarat seterusnya meneliti serta mengesahkan Minit Mesyuarat Majlis Penuh Bil. 1 Tahun 2026, diikuti pembentangan dan perbincangan maklum balas bagi beberapa minit mesyuarat Jawatankuasa Tetap, termasuk Jawatankuasa Tetap Pentadbiran dan Kewangan, Jawatankuasa Tetap Kemudahan Awam, Kesihatan dan Landskap, serta Jawatankuasa Tetap Perancangan dan Pembangunan.

Perhatian turut diberikan terhadap isu kesihatan awam, khususnya peningkatan kes penyakit tibi. Orang ramai digalakkan untuk terus mengambil langkah pencegahan sewajarnya, termasuk pemakaian pelitup muka dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya bergejala.

Selain itu, Ahli Majlis turut dipelawa untuk membangkitkan isu-isu berkaitan Bazar Ramadan bagi memastikan aspek pengurusan, pemantauan serta pematuhan peraturan berjalan lancar. MPKK komited melaksanakan pemantauan berkala di tapak bazar demi keselesaan peniaga dan pengunjung.

Yang Dipertua turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Padang Cina, Kulim, khususnya kepada pihak Tuan Pegawai Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, SWCorp, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, serta Syarikat Air Darul Aman, dan agensi-agensi berkaitan yang telah berjaya mengawal keadaan dengan berkesan dalam proses pemadaman kebakaran.

Penghargaan khas turut dizahirkan kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara atas keprihatinan kepimpinan tertinggi yang turun padang meninjau situasi di tapak pelupusan dan juga para pemimpin tempatan yang terlibat dalam memberi sokongan yang sama.

Mengakhiri mesyuarat, Dato’ Yang Dipertua merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Majlis politik dan Ex-Officio, para pengarah jabatan serta seluruh warga MPKK atas dedikasi dan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan bandar dan komuniti.

MPKK akan terus memperkukuh tadbir urus serta mempertingkat mutu perkhidmatan demi manfaat seluruh warga Kulim.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#thegreaterkedah

#mesyuaratmajlispenuh

Skip to content