MBAS LAKSANA OPERASI SITAAN HARTA ALIH CUKAI TAKSIRAN
Alor Setar, 17 Disember 2025 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Unit Tindakan Khas Bahagian Hasil dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa dan Bahagian Pengurusan Harta telah melaksanakan Operasi Sitaan Harta Alih di sekitar Jalan Raja dan Jalan Langgar, Alor Setar.
Operasi ini menyasarkan pegangan berstatus perniagaan yang dikesan mempunyai tunggakan cukai taksiran yang tinggi di bawah kawasan pentadbiran MBAS. Tindakan ini dilaksanakan berikutan kegagalan pemilik pegangan menjelaskan tunggakan cukai taksiran mengikut tempoh yang telah ditetapkan, selaras dengan peruntukan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Adalah dimaklumkan bahawa pihak MBAS sentiasa bersifat terbuka dalam membantu memudahkan urusan pemilik pegangan. Sebagai langkah keprihatinan, MBAS telah menyediakan inisiatif pembayaran tunggakan cukai taksiran secara ansuran bagi meringankan beban kewangan pihak yang terlibat.
Sehubungan dengan itu, mana-mana pemilik pegangan yang mempunyai tunggakan cukai taksiran amat digalakkan untuk hadir ke Bahagian Hasil, Ibu Pejabat MBAS bagi berbincang dan mencari penyelesaian terbaik.
Pihak MBAS ingin mengingatkan semua pemilik pegangan agar sentiasa peka dengan tanggungjawab menjelaskan cukai taksiran bagi memastikan kelancaran pembangunan dan penyampaian perkhidmatan di bandar raya Alor Setar dapat diteruskan dengan efektif demi kesejahteraan warga bandar raya Alor Setar.
