OPERASI PENGUATKUASAAN BERSEPADU | 10 BUAH PREMIS WARGA ASING DISERBU
Alor Setar, 13 Januari 2026 – Sebanyak 10 buah premis warga asing telah diserbu dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Premis Warga Asing yang telah dilaksanakan petang semalam di sekitar kawasan Jalan Langgar bagi memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan oleh pemilik serta pengendali premis perniagaan.
Operasi itu melibatkan kerjasama antara Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Pejabat Daerah Kota Setar, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Sebanyak 10 buah premis telah diperiksa merangkumi kedai barangan runcit, pusat kecantikan, dan asrama pekerja/bilik sewa.
Dalam operasi tersebut, pihak MBAS telah mengeluarkan sepuluh (10) kompaun atas pelbagai kesalahan. Antaranya termasuklah pengoperasian premis tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Premis Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBAS) 2010; iklan tanpa lesen di bawah UUK Iklan (MBAS) 2010; kekotoran premis di bawah UUK Pelesenan Establisymen Makanan (MBAS) 1983 dan UUK Mencegah Kekotoran (PBTNK) 1983; pelanggaran syarat lesen di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976; serta mengendalikan pusat kecantikan (urut) tanpa lesen di bawah UUK Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (PBTNK) 2019. Selain itu, dua operator pusat kecantikan turut dikenakan tindakan kompaun kerana gagal menjalani pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan pemeriksaan dokumen ke atas 22 warga asing di lokasi kejadian di bawah Akta Imigresen. Bagi mengekang penyalahgunaan identiti, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut melaksanakan pemeriksaan MyKad bagi memastikan tiada penggunaan dokumen palsu dalam kalangan pekerja di premis terlibat.
Dalam pada itu, pihak KPDN telah menjalankan pemeriksaan terhadap lesen runcit, tanda harga, serta alat penimbang. Beberapa amaran telah dikeluarkan bagi mengarahkan pemilik premis menambah baik maklumat yang tertera pada poster harga dan perkhidmatan agar tidak mengelirukan pelanggan.
Pihak MBAS menegaskan bahawa pemeriksaan berkala akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan aspek kebersihan di semua premis perniagaan bandar raya ini berada pada tahap terbaik.
