PERINTAH KHIDMAT MASYARAKAT | 15 INDIVIDU TELAH DITANGKAP MENERUSI OPS CEGAH

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 14 Januari 2026 – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah telah berjaya menangkap 15 individu atas kesalahan membuang sampah di tempat awam menerusi Ops Cegah Perintah Khidmat Masyarakat yang mula berkuat kuasa sejak 1 Januari 2026 yang lalu.
 
Pengurus Cawangan SWCorp Kedah, Encik Mohd Azam bin Abd Hamid berkata, operasi tersebut dijalankan secara intensif bagi meningkatkan kesedaran serta tahap pematuhan masyarakat terhadap kebersihan persekitaran. Menurut beliau, tindakan tegas kini sedang diambil terhadap semua pesalah yang terlibat bagi memastikan mesej penguatkuasaan sampai secara jelas kepada orang awam.
 
“Sehingga hari ini, sebanyak empat belas (14) kertas siasatan telah disiapkan sepenuhnya oleh pegawai penyiasat, dengan sembilan (9) daripadanya telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan lanjut. Selain itu, satu (1) kertas siasatan telah diberikan izin dakwa dan dijadualkan untuk sebutan kes di mahkamah pada 26 Januari 2026,” ujar beliau.
 
Mohd Azam dalam kenyataannya hari ini turut menerangkan bahawa kes yang bakal disebut di mahkamah itu melibatkan pesalah di Alor Setar, sekali gus menjadikan Alor Setar bandar yang pertama di negeri Kedah akan melaksanakan prosedur sebutan kes di bawah peruntukan undang-undang berkenaan.
 
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa setakat semalam sahaja, seramai 66 orang pesalah di seluruh negeri Kedah telah diberikan notis pemberitahuan kesalahan sebagai amaran atas kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
 
Pelaksanaan penguatkuasaan ini adalah selaras dengan peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sebagai langkah mendidik, mencegah dan meningkatkan rasa tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan persekitaran.
 
Mana-mana individu yang didapati bersalah membuang sampah kecil di tempat-tempat awam boleh didenda RM2,000 dan dikenakan hukuman tambahan Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam selama 6 bulan.
 
Skip to content