




5 Mac 2026 – Suasana penuh kemesraan dan keberkatan menyelubungi Dataran Putra, Kulim apabila Majlis Perbandaran Kulim menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama Yang Dipertua MPKK sempena Ramadan 1447H.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa pembuka majlis diikuti tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ahli Majlis Zon 3, Tuan Haji Mohammad Iskandar Shah bin Ibrahim yang mengingatkan para hadirin tentang keistimewaan Ramadan sebagai bulan untuk meningkatkan ibadah dan memperbanyakkan amal kebaikan.
Menjelang waktu berbuka, para hadirin bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dalam suasana yang penuh harmoni.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Majlis, warga MPKK, rakan media, serta komuniti setempat yang sama-sama berkongsi kemeriahan Ramadan.
Dataran Putra kini semakin menjadi pilihan komuniti untuk berkumpul dan mengimarahkan Ramadan. Dengan suasana yang selesa, lapang dan mesra keluarga, lokasi ini amat sesuai untuk orang ramai datang bersantai, beriadah malah berbuka puasa bersama rakan dan keluarga sambil menikmati suasana petang yang nyaman di tengah bandar Kulim.
Jom ramai-ramai meriahkan Ramadan di Dataran Putra!
Bawa keluarga, bentang tikar dan nikmati momen berbuka puasa bersama dalam suasana komuniti yang harmoni.