PELANCARAN "MAI SINGGAH ALOR SETAR, SEMUA ADA" SEMPENA ULANG TAHUN BANDAR RAYA ALOR SETAR KE-22
Alor Setar, 1 Februari 2026 – Kemeriahan Karnival Ulang Tahun Bandar Raya Alor Setar ke-22 di perkarangan Stadium Darul Aman malam tadi diserikan dengan Majlis Pelancaran pelancongan terbaharu, “Mai Singgah Alor Setar, Semua Ada”.
Majlis pelancaran penuh warna-warni tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah, YB Haji Dhowahir Ab Ghani diiringi Tuan Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, ADUN Derga, YB Muhammad Amri Wahab serta ADUN Anak Bukit, YB Rashidi Razak.
Inisiatif “Mai Singgah Alor Setar, Semua Ada” merupakan satu inisiatif berterusan setiap tahun yang bertujuan untuk menonjolkan keindahan, keunikan, dan daya tarikan Bandar Raya Alor Setar. Kempen ini menggabungkan elemen warisan, kebudayaan, dan inovasi moden untuk menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara untuk bertandang ke ibu negeri jelapang padi ini.
Malam pelancaran tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik, antaranya persembahan tarian kebudayaan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kedah (JKKN) serta sketsa dan persembahan puisi oleh Persatuan Sejarah Alor Setar. Suasana bertambah meriah dengan penampilan khas pelawak legenda tanah air, Kumpulan Senario, yang menghiburkan pengunjung dengan lawak jenaka mereka. Selain hiburan, elemen kelestarian komuniti turut diketengahkan melalui sesi penyerahan anak pokok oleh Jabatan Perpaduan kepada wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari sekitar bandar raya.
Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis MBAS, Timbalan Setiausaha MBAS, Encik Azlizam Jaafar Sidik, Pengarah-Pengarah serta Ketua-Ketua Bahagian MBAS.
