PROGRAM TADARUS & KHATAM AL-QURAN TARIK MINAT HAMPIR 400 ORANG MUSLIMAH POKOK SENA

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Pokok Sena, 28 Februari 2026 (Sabtu) – Majlis Bandaraya Alor Setar melalui Jawatankuasa Kawasan Zon 17 – Sena telah bekerjasama dengan pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pokok Sena, Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Bukit Lada dan Jawatankuasa Masjid Ar-Raudhah, Pokok Sena telah dengan jayanya mengadakan Program Tadarus dan Khatam Al-Quran bertempat di Masjid Ar-Raudhah, Sungai Durian, Pokok Sena. Program tersebut mendapat penyertaan menggalakkan dari lebih 30 buah kampung dan taman perumahan melibatkan hampir 400 orang peserta. Penganjuran bagi tahun kedua itu juga telah memberikan kesan yang positif kepada komuniti setempat bersempena bulan Ramadan 1447 Hijriah.
 
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh YB Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, Ahli Parlimen Pokok Sena diiringi Ustaz Salim Mahmood Al Hafiz, ADUN Bukit Lada dan Puan Robiah Dahaman, Ahli Majlis MBAS merangkap Pegawai Kawasan Zon 17 – Sena selaku penganjur. Dalam ucapan perasmian, YB Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya merakamkan penghargaan dan tahniah atas kejayaan penganjuran program disamping menegaskan bahawa usaha berterusan seperti ini amat wajar diperkasakan demi membina generasi yang dekat dengan Al-Quran. Beliau turut menyeru agar Al-Quran bukan sekadar dibaca untuk tujuan khatam semata-mata, tetapi turut difahami isi kandungannya, dihayati mesejnya dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
 
Semoga program seumpama ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan pembudayaan Al-Quran dalam kalangan wanita sebagai tunjang sesebuah keluarga yang seterusnya bakal melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan berteraskan nilai-nilai Islam. Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati dari pihak Ahli Parlimen kepada semua para peserta dan sesi bergambar.
 
Skip to content