PELIHARA KEHARMONIAN DAN RAI KEPELBAGAIAN KAUM | DATUK BANDAR HADIR MERAIKAN MASYARAKAT CINA DI ACARA LED CULTURE, PEKAN CINA, ALOR SETAR

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 28 Februari 2026 (Sabtu) – Kepelbagaian kaum dan keharmonian masyarakat terus menjadi tunjang kekuatan bandar raya ini apabila ramai pengunjung pelbagai bangsa memeriahkan Acara Led Culture di Pekan Cina, di sini, malam tadi.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya yang hadir meraikan masyarakat Cina dalam acara tersebut, menzahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat dan menyatakan komitmennya dalam menjunjung titah Sultan Kedah untuk menjaga semua kaum.
 
“Saya amat menghargai komuniti Cina sebagai sebahagian daripada warga bandar raya. Dan inilah perkara yang ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Al Marhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah. Bahawa, Gafar sebagai Datuk Bandar kena jaga semua komuniti yang ada dalam bandar raya ini. Dan hari ini, saya tidak sangka sama sekali yang sebegini meriah, sebegini ramai, yang merangkumi pelbagai bangsa. Tetapi kita boleh meraikan bersama,” kata beliau ketika berucap pada majlis tersebut.
 
Beliau yang merupakan Datuk Bandar Alor Setar ke-8, turut menyatakan sikap terbukanya dalam menerima sebarang kritikan demi pembangunan bandar raya, selain merancang untuk mengindahkan lagi kawasan Pekan Cina.
 
“Dalam kepelbagaian inilah kekuatan ada dalam negara kita Malaysia, negeri kita Kedah Darul Aman, dan bandar raya Alor Setar. Sebagai Dato’ Bandar yang ke-8, saya menghadapi pelbagai cabaran. Saya menerima dengan penuh terbuka bahawa perbedaan, pandangan, kritikan, itulah sebenarnya yang membina bandar raya Alor Setar ini. Teruskan memberi pandangan, teruskan memberikan kerjasama. Saya tidak pernah berhenti untuk berfikir, mengajak kawan-kawan, membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk kita bangunkan kembali Pekan Cina ini dengan lebih cemerlang lagi. Kita bagi cantik Pekan Cina dan acara yang macam ini menjadi satu program tahunan dalam kalendar pelancongan Bandaraya Alor Setar,” jelasnya lagi.
 
Pada masa yang sama, Dato’ Haji Abdul Gafar turut mengambil peluang mengingatkan warga bandar raya agar menggembleng tenaga menjaga aspek kebersihan sepertimana yang sering dititahkan oleh Tuanku Sultan Kedah.
 
“Perkara yang paling penting saya nak mengajak pada malam ini adalah untuk semua kita bersama-sama menjaga perkara kedua yang sering diingatkan oleh Tuanku Sultan iaitu mengenai kebersihan. Maka saya harap saudara-saudari, semua untuk kita bersama-sama menjaga kebersihan tak kira di mana sama ada di rumah kita, taman perumahan kita ataupun kawasan perniagaan kita,” ujarnya.
 
Skip to content