8 GERAI BAZAR RAMADAN STADIUM DARUL AMAN TERIMA SIJIL ANUGERAH GERAI BERSIH DAN SELAMAT 2026
ALOR SETAR, 28 Februari – Seramai lapan peniaga di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman telah menerima Sijil Anugerah Gerai Bersih dan Selamat sempena Inisiatif Gerai Bersih dan Selamat Bazar Ramadan 2026 dalam satu majlis yang berlangsung pada jam 4.00 petang.
Pengiktirafan tersebut diberikan hasil pematuhan terhadap keperluan kebersihan premis, amalan pengendalian makanan yang selamat serta kawalan risiko keselamatan makanan. Inisiatif ini dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar.
Anugerah ini bertujuan mengiktiraf peniaga yang komited dalam memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa berada pada standard yang ditetapkan, sekali gus memberi keyakinan kepada pengunjung bazar.
Antara gerai yang terpilih menerima pengiktirafan ialah Pasta Nyaman; Nasi Arab Mandy – Alor Mengkudu; Kek Batik Lembut; Bro’s Roti John; Laksam Mak Dah; Nasi Arab Selambak by Indah Kitchen; Kuey Teow Goreng, Nasi Goreng Daging (Hara Kitchen); dan Nasi Kenduri Hari-Hari.
Diharapkan pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin kepada semua peniaga bazar untuk terus mengekalkan standard kebersihan dan keselamatan makanan yang tinggi demi melindungi kesihatan pengguna sepanjang bulan Ramadan.
