MAJLIS SESI LIBAT URUS BERSAMA PENGUSAHA-PENGUSAHA RESTORAN MAKANAN THAI ALOR SETAR

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 5 Mac 2026 (Khamis) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan Majlis Libat Urus bersama Pengusaha-Pengusaha Restoran Makanan Thai bertempat di Dewan UTC, Tingkat 5, Bangunan UTC Kedah.
 
Sesi libat urus tersebut telah dipengerusikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya. Turut bersama dalam sesi libat urus ini ialah Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan Jabatan Imigresen Malaysia.
 
Sesi libat urus ini diadakan sebagai platform komunikasi dua hala antara pihak berkuasa dan pengusaha bagi memastikan setiap premis mematuhi peraturan serta piawaian menyeluruh yang telah ditetapkan. Antara agenda utama yang diberi penekanan termasuklah aspek kebersihan premis, amalan pengendalian makanan yang bersih dan selamat, tindakan terhadap isu premis beroperasi tanpa lesen sah serta pematuhan undang-undang pekerja asing.
 
Melalui sesi libat urus ini, pihak Majlis turut mengambil pendekatan memudah cara urusan pelesenan kepada pengusaha restoran makanan Thai dengan menawarkan proses permohonan lesen secara segera, tertakluk kepada syarat-syarat khas yang perlu dipatuhi dalam tempoh yang ditetapkan.
 
Hasil daripada pendekatan ini, sebanyak 18 lesen baharu telah berjaya dikeluarkan kepada pengusaha restoran makanan Thai, manakala 2 permohonan pembaharuan lesen premis turut diluluskan.
 
Pihak Majlis menyeru semua pengusaha premis makanan yang masih belum memiliki lesen supaya hadir ke Bahagian Pelesenan, Majlis Bandaraya Alor Setar aras 2, Bangunan UTC Kedah bagi mendapatkan lesen perniagaan masing-masing sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
 
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh hubungi Bahagian Pelesenan di talian 04-7331346 bagi penambahbaikan yang amat dialu-alukan untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan yang telah ditetapkan.
 
“Pematuhan undang-undang bukan sekadar kewajipan, tetapi asas kepada perniagaan yang berdaya maju, selamat dan dipercayai masyarakat.”
 
Skip to content