MBAS PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA SPRM KEDAH

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar 3 Disember 2025 (Rabu) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) komited untuk memperkukuhkan komitmen terhadap pembudayaan integriti dan tatakelola baik menerusi satu kunjungan hormat ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, pagi semalam.
 
Kunjungan tersebut telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Khas, SPRM Kedah, Anak Bukit dan diketuai oleh Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya. Delegasi MBAS disambut oleh Pengarah SPRM Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Nazli Rasyid Haji Sulong. Turut serta dalam rombongan MBAS ialah Timbalan Setiausaha, Encik Azlizam Jaafar Sidik; Pengarah Jabatan Kewangan, Encik Mohamad Najib Mohd Salleh; dan Ketua Bahagian Integriti, Encik Rasyidi Othman.
 
Kunjungan strategik antara SPRM dan MBAS ini bertujuan memantapkan integriti, tata kelola, dan pencegahan rasuah dalam kerajaan tempatan. Fokus perbincangan terarah kepada pengukuhan kawalan dalaman, peningkatan ketelusan perkhidmatan, serta penyelarasan agenda integriti yang lebih tersusun dalam ekosistem perbandaran.
 
Pihak SPRM menghargai inisiatif MBAS melaksanakan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) dan menyarankan agar penilaian berkala dibuat supaya sistem kekal relevan. Susulan itu, SPRM Kedah menawarkan sokongan teknikal bagi memperkukuh aspek kawalan dalaman dan pematuhan sekiranya MBAS melaksanakan proses penambahbaikan pada masa akan datang.
 
Selain itu, SPRM turut mengemukakan cadangan penganjuran Konvensyen Integriti dan Tadbir Urus PBT Negeri Kedah yang dirancang untuk diadakan pada awal tahun 2026, melibatkan kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Kedah. Cadangan ini dikemukakan berikutan Kedah merupakan negeri pertama di Malaysia yang telah berjaya menubuhkan Unit Integriti di setiap PBT, sekali gus meletakkan negeri ini pada kedudukan yang strategik sebagai perintis dalam penyelarasan standard integriti dan perkongsian amalan terbaik di peringkat kerajaan tempatan.
 
Pertemuan ini diakhiri dengan pertukaran cenderahati sebagai simbolik komitmen dan jalinan kerjasama strategik antara SPRM Kedah dan MBAS.
 
Dalam perkembangan yang sama, satu sesi ceramah turut diadakan kepada pengurusan atas MBAS melibatkan Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Bahagian serta Ketua-Ketua Unit MBAS yang diadakan di Auditorium Wisma Persekutuan, Anak Bukit MBAS. Bengkel yang bertajuk “Rasuah Dalam Perolehan” telah disampaikan oleh Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Kedah, Penguasa Kanan Syahrul Khuzaini bin Amiruddin.
 
Pihak MBAS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada SPRM Negeri Kedah, khususnya kepada YBhg. Dato’ Nazli Rasyid Haji Sulong dan seluruh pasukan, atas kesudian meluangkan masa, berkongsi pandangan, dan menawarkan kerjasama strategik. Komitmen yang ditunjukkan oleh SPRM ini amat dihargai dalam usaha berterusan MBAS untuk memperkukuh budaya integriti, tadbir urus yang cemerlang, dan membebaskan pentadbiran daripada sebarang bentuk rasuah.
 
 
Skip to content