MBAS LAKSANA KERJA-KERJA PEMBERSIHAN DAN PENYELENGGARAAN POKOK DI SEKITAR STESEN KTMB ALOR SETAR
Alor Setar, 8 Disember 2025 (Isnin) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hari ini melalui Unit Gerak Cepat, Bahagian Perkhidmatan Bandar, dan Bahagian Landskap dan Rekreasi telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan pokok di kawasan sekitar Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Alor Setar.
Fokus utama kerja-kerja tersebut adalah untuk membersihkan persekitaran dan memangkas dahan-dahan pokok yang didapati menghalang pancaran lampu di sekitar stesen, terutamanya bagi menjamin keadaan yang terang dan selamat pada waktu malam.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya turut sempat turun padang meninjau kerja-kerja yang dilaksanakan. Hadir sama pegawai SWcorp Kedah serta pegawai-pegawai terlibat.
Usaha berterusan MBAS dalam memastikan infrastruktur awam, khususnya di kawasan tumpuan seperti stesen keretapi, sentiasa berada dalam keadaan yang baik mencerminkan tanggungjawab MBAS dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan persekitaran yang selamat kepada masyarakat.
