PROGRAM ZIARAH KASIH: DATUK BANDAR ALOR SETAR SANTUNI WARGA EMAS DI LORONG TITI SIAM

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 20 Disember 2025 (Sabtu) – Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya, telah meluangkan masa menyantuni golongan warga emas dalam Majlis Ziarah Kasih yang berlangsung di Surau Al-Ehsan, Lorong Titi Siam, hari ini.
 
Program tersebut merupakan anjuran Ahli Majlis Zon 9 Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Tuan Haji Zulkifli Che Haron, yang bertujuan untuk merapatkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dengan masyarakat setempat, khususnya golongan warga emas yang telah banyak berjasa.
 
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, YB Muhamad Amri Wahab. Gandingan erat antara kepimpinan bandar raya dan wakil rakyat dalam program ini menyerlahkan komitmen bersama dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
 
Dalam majlis tersebut, YBhg. Datuk Bandar bersama YB ADUN Derga telah menyampaikan sumbangan kepada para warga emas yang hadir sebagai simbol keprihatinan dan kasih sayang. Sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban serta memberikan keceriaan kepada para penerima.
 
Pihak MBAS sentiasa menyokong program-program kebajikan seperti ini bagi membina masyarakat yang harmoni dan merangkumi segenap lapisan, selaras dengan hasrat untuk menjadikan Alor Setar sebuah bandar raya yang bukan sahaja maju dari segi infrastruktur, malah kaya dengan nilai-nilai murni.
 
Hadir sama di majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Titi Siam, Puan Nor Hayati binti Osman; Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
 
 
Skip to content