LAWATAN KERJA TINJAU KERJA-KERJA MENAIK TARAF BAGI FASA 2 TERMINAL BAS SHAHAB PERDANA
Alor Setar, 10 Mac 2026 – Projek naik taraf Terminal Bas Shahab Perdana bagi Fasa 2 kini sepatutnya merekodkan status kemajuan sebanyak 80 peratus mengikut jadual namun berlaku kelewatan. Fasiliti tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya beberapa bulan lagi sebelum penghujung tahun 2026.
Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), PMgr. Sr. Zamzama Mohd yang mewakili Datuk Bandar Alor Setar berkata, tujuan utama lawatan kerja ke tapak projek tersebut adalah untuk meninjau perkembangan semasa susulan terdapat sedikit kelewatan penyiapan di fasa 2 ini.
Beliau menyeru agar syarikat operator, Jasa Pedoman Sdn. Bhd., melipatgandakan usaha bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang telah dipersetujui oleh pihak Majlis.
“Kebanyakan infrastruktur dan ruang niaga sudah mula kelihatan. Cuma sekarang, kita mahu pihak kontraktor menyegerakan baki kerja teknikal seperti pendawaian dan kemasan kaki lima supaya projek ini dapat disiapkan sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya selepas mengadakan tinjauan kerja di terminal berkenaan.
Mengulas mengenai status garis masa projek, beliau menjelaskan bahawa Fasa 1 telah pun siap sepenuhnya pada April 2025 dan mula dibuka kepada orang awam bagi perkhidmatan bas pada Mei 2025.
Mengikut perancangan asal, pembinaan Fasa 2 sepatutnya siap pada bulan April 2026. Namun, kelewatan yang berlaku didapati berpunca daripada isu integrasi sistem serta proses pemindahan pada peringkat awal pelaksanaan.
“Susulan mesyuarat bersama Tuan Setiausaha MBAS, pihak majlis telah bersetuju memberikan sedikit ruang masa tambahan kepada pihak kontraktor. Walaupun dijangka melepasi sasaran bulan April, kita yakin terminal ini akan beroperasi sepenuhnya sebelum tirai tahun 2026 berlabuh,” tambahnya.
Terminal berwajah baharu ini bakal menawarkan pelbagai kemudahan yang dinaik taraf, termasuk ruang-ruang niaga, sebuah dewan utama yang lebih besar di kawasan ruang legar (concourse area) yang lebih selesa untuk para pengguna. Selain itu, pihak operator turut menyediakan hotel bajet berkapasiti 20 bilik yang diuruskan secara sistematik menggunakan sistem tempahan pintar sepenuhnya melalui aplikasi dan mesin layan diri. Bagi memastikan kesejahteraan semua pihak, infrastruktur terminal ini juga dibangunkan dengan ciri mesra OKU seperti penyediaan tandas OKU dan tanjakan (ramp) mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.
Akses utama bagi kesemua pelanggan hanya melalui pintu hadapan sahaja, termasuk bagi golongan OKU. Sehubungan itu, tanjakan (ramp) khas telah dibina di ruang pintu masuk hadapan bagi memudahkan golongan OKU mendapat akses terus ke terminal bas. Langkah memusatkan akses di pintu hadapan ini secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada ruang-ruang niaga yang ada di situ untuk menjadi daya tarikan utama kepada para pengguna.
Menutup bicara, beliau menegaskan visi MBAS terhadap projek ini adalah lebih besar daripada sekadar sebuah hab pengangkutan.
“Kita di pihak majlis ingin menjelaskan bahawa pembinaan Terminal Bas Shahab Perdana yang baharu ini bukan sekadar berfungsi sebagai terminal pengangkutan awam semata-mata, malah ia disasarkan untuk menjadi sebuah hab komuniti dan pusat perniagaan baharu yang bakal merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan Mergong ini,” jelas beliau.
