MBAS RAIKAN 170 ANAK YATIM, SUMBANGAN RAMADAN TANDA KEPRIHATINAN MENJELANG SYAWAL
Alor Setar, 11 Mac 2026 (Rabu) – Menjelang ketibaan bulan Syawal yang bakal tiba, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) terus komited menyantuni golongan yang memerlukan dengan meraikan kira-kira 170 orang anak yatim dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim MBAS 2026 bertempat di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah, baru-baru ini.
Program yang dianjurkan saban tahun ini bertujuan untuk berkongsi rezeki dan keceriaan bersama anak-anak yang kurang bernasib baik, agar mereka dapat merasai nikmat kemeriahan Ramadan serta membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba seperti kanak-kanak lain.
Selain menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan, program turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai, barangan keperluan makanan, baucar pakaian hari raya, serta buku. Bagi memberkati lagi majlis, program diserikan dengan alunan suci ayat-ayat Al-Quran berserta sesi tazkirah yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Mohamad Moqti Ahmad.
Sesi penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya bersama Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid) JPN Kedah, Tuan Haji Mohamad Kamal bin Hashim; Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri bin Mohamad Norlin; serta wakil-wakil penaja.
Pihak MBAS mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi rakan-rakan strategik dan pihak penaja yang bermurah hati menghulurkan tajaan bagi menjayakan program murni ini. Antara rakan strategik dan penaja yang terlibat pada tahun ini ialah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah, Hasani Group Sdn. Bhd., Jakel Alor Setar, Tastiway Sdn. Bhd., Optometris Zaharah, Wetra Food Industries Sdn. Bhd., Caltex, Kedah Medical Centre (KMC), CT Global, Ahli-Ahli Majlis MBAS, serta Lorong Pekan.
Majlis berbuka puasa ini turut dihadiri oleh barisan Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Bahagian MBAS serta pegawai-pegawai yang terlibat. Semoga usaha murni dan jalinan kerjasama strategik sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memastikan kesejahteraan komuniti bandar raya Alor Setar sentiasa terpelihara.
