PROGRAM RAMAH MESRA BERSAMA YDP MPSPK MENJELANG 1 SYAWAL 1447H

Dalam kehangatan bahang Syawal yang kian menghampiri, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah menganjurkan Program Ramah Mesra Bersama YDP sebagai satu inisiatif mempereratkan silaturahim serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kerja MPSPK.

Program ini diadakan bertepatan dengan kedatangan Aidilfitri yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi, sebagai platform untuk mendekatkan hubungan antara Yang Dipertua bersama kakitangan dalam suasana yang penuh ceria dan harmoni. Ia juga menjadi ruang untuk saling bermaafan, menyusun sepuluh jari, serta mengeratkan hubungan yang sedia terjalin agar terus kukuh dan mekar, bak bunga yang berkembang di pagi Syawal.

Hasrat murni YDP dalam menganjurkan program ini jelas terserlah bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen seluruh warga MPSPK. Di sebalik senyuman dan kemesraan yang terjalin, tersimpan nilai kebersamaan yang menjadi nadi kekuatan organisasi serta saling menyokong dan melengkapi demi mencapai kejayaan bersama.

Sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada semua barisan Ahli Majlis yang turut hadir memeriahkan program pada hari ini. Kehadiran dan sokongan yang diberikan amat bermakna dalam menyemarakkan lagi suasana serta memperkukuh jalinan ukhuwah dalam keluarga besar MPSPK.

Semoga dengan kehadiran Syawal yang bakal menjelma, segala yang keruh dapat dijernihkan, yang jauh didekatkan, dan yang renggang dirapatkan. Moga semangat yang disemai melalui program ini terus mekar, menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan demi kesejahteraan warga dan kemajuan Sungai Petani yang kita kasihi.

Klik untuk gambar sekitar program
Klik untuk video sekitar program

Skip to content