MAJLIS KHATAM AL-QURAN MARATHON MBAS & PENYAMPAIAN SUMBANGAN WAKALAH AIDILFITRI 1447H/2026M

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH

Alor Setar, 18 Mac 2026 (Rabu) – Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran Marathon dan Penyampaian Sumbangan Wakalah Aidilfitri 1447H / 2026M yang berlangsung di Dewan Besar As-Sakinah, Tingkat 7, Menara MBAS.
 
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya. Majlis Khatam Al-Quran telah diserikan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara berjemaah yang dipimpin oleh Pengerusi Biro Agama dan Dakwah Kelab MBAS, Encik Mohd Khairul Nidzam Tajudin dalam suasana yang cukup khusyuk dan penuh penghayatan oleh para peserta.
 
Program turut disusuli dengan acara penyampaian Sumbangan Wakalah Aidilfitri. Inisiatif sumbangan ini merupakan tanda ingatan tulus ikhlas serta keprihatinan pihak pengurusan dalam membantu meringankan beban persiapan perayaan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Pada tahun ini, sumbangan tersebut telah berjaya diagihkan kepada lebih 550 orang penerima yang terdiri daripada waris keluarga kakitangan MBAS yang telah kembali ke Rahmatullah, barisan warga kerja MBAS, serta rakan strategik pengurusan kebersihan iaitu warga kerja SWCorp dan E-Idaman Sdn. Bhd.
 
Penganjuran majlis ini secara tidak langsung memperkukuh ikatan ukhuwah, mencerminkan semangat kebersamaan, serta membawa rahmat dan keberkatan buat seluruh warga kerja yang terlibat.
 
Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis MBAS; Timbalan Setiausaha MBAS, En. Azlizam Jaafar Sidik; Pengarah Jabatan Kewangan, En. Mohamad Najib Mohd Salleh; Pengurus Cawangan SWCorp Kedah, En. Mohd Azam Abd Hamid; Pengurus E-Idaman Cawangan Alor Setar, En. Mohd Hakime bin Awang Kechik; serta para pengarah dan ketua-ketua bahagian MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Pautan sorotan foto penerima Wakalah Aidilfitri 1447H / 2026M :
 
Skip to content