



19 April 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menerima kunjungan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) lantikan baharu sempena Program Familiarisasi Pentadbiran Daerah dan Tanah dalam usaha memberi pendedahan awal kepada perkhidmatan awam negeri.
Program ini merupakan sebahagian daripada KCS Induction Programme 2026 yang bertujuan memperkenalkan persekitaran kerja, budaya organisasi serta fungsi jabatan kepada pegawai-pegawai baharu sebelum memulakan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Sepanjang program, para pegawai telah diberi taklimat ringkas berkaitan peranan dan fungsi jabatan-jabatan di MPKK termasuk Jabatan Perbendaharaan, Perancangan dan Landskap, Kejuruteraan, Penilaian dan Pengurusan Harta, Penguatkuasaan serta lain-lain jabatan teknikal dan sokongan.
Selain sesi taklimat, program turut diisi dengan lawatan ke Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal, Padang China bagi memberi pendedahan secara langsung terhadap operasi dan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh MPKK kepada masyarakat.
Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh kefahaman pegawai terhadap sistem pentadbiran tempatan serta meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Negeri Kedah.
Terima kasih atas kunjungan sempena Program Familiarisasi KCS 2026.