






22 April 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), SWCorp dan Syarikat Environment Idaman Sdn. Bhd. telah menjalankan satu operasi bersepadu pelupusan kayu palet di kawasan Jalan Utama ke Taman Paya Serdang. Operasi ini dilaksanakan susulan aduan berulang yang diterima berkaitan isu tersebut.
Operasi ini memberi penekanan terhadap pemantauan serta tindakan terhadap kesalahan yang melibatkan pengumpulan kayu palet terpakai yang diletakkan di lokasi yang tidak dibenarkan. Sejumlah aset logistik telah digerakkan, termasuk kenderaan penguat kuasa, lori amroll dan jentera backhoe, bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Tindakan ini diambil selepas pemilik gagal mematuhi notis halangan tempat awam di bawah Seksyen 46(1)(e), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Semua barangan telah disita dan dilupuskan di Tapak Pelupusan Sampah Padang Cina.
Sebagai peringatan, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta tidak meletakkan sebarang halangan di tempat awam bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.