FESTIVAL SASTERA DAN SENI KANAK-KANAK X JOM BACA BERSAMA 10 MINIT | Pupuk Generasi Beradab Melalui Budaya Membaca

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 23 April 2026 – Budaya membaca bukan sekadar aktiviti, malah berperanan penting dalam membentuk insan yang lebih beradab dan berfikiran matang.
 
‎Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad menzahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan nilai bahasa dan adab dalam komunikasi, khususnya di media sosial.
 
Dalam ucapannya, beliau menegaskan penganjuran festival sastera dan seni kanak-kanak bersama program Jom Baca Bersama 10 Minit Sempena Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Negeri Kedah ini menjadi medium terbaik dalam membentuk jiwa, pemikiran dan nilai murni, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan generasi muda.
 
‎”Program ini bukan sekadar kolaborasi program, malah menjadi simfoni ilmu dan rasa, pertemuan antara akal dan jiwa yang membentuk naratif baharu dalam lanskap pendidikan negeri ini.
 
‎”Namun, kita sedang menyaksikan satu fenomena yang membimbangkan di mana bahasa kehilangan santun, kata kehilangan makna serta kehilangan jiwa dimana medan media sosial menjadi perkataan yang dilontar tanpa timbang tara, bahasa diperlakukan tanpa adab, dan wacana bertukar menjadi kakofoni yang membingitkan.
 
‎”Kita hidup dalam dunia yang penuh informasi, tetapi kontang kebijaksanaan kerana sarat dengan hiburan seterusnya tandus nilai kemanusiaan. Kita tak mahu mewariskan kehidupan seperti ini kepada anak-anak kita. Membaca bukan sekadar aktiviti malah ia adalah proses membina jiwa manusia.
 
‎”Seorang anak yang membaca bukan sahaja akan menjadi bijak, tetapi akan menjadi lebih berempati, lebih beradab, dan lebih memahami dunia. Oleh itu, kita tidak boleh hanya mendidik anak-anak menjadi pandai tetapi juga perlu mendidik mereka menjadi insan yang baik dan bermanfaat,” katanya.
 
‎Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Festival Sastera dan Seni Kanak-kanak Kedah X Jom Baca Bersama 10 Minit sempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia Peringkat Negeri Kedah 2026 di Kompleks City Plaza, Alor Setar.
 
‎Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Hj. Abdul Gafar Yahya; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Shahizan Affandi Zakaria; Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah, Arni Nadhirah Abdul Hadi; Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd. Tarmizi Abdul Rani dan Setiausaha MBAS, Mohamad Shahuri Mohd Norlin.
 
Tambah beliau lagi, festival yang menghimpunkan dua inisiatif besar ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan budaya membaca serta menyemai pembelajaran sepanjang hayat.
 
“Sejarah telah membuktikan, tiada satu tamadun hebat di dunia ini yang tidak bermula dengan budaya ilmu dan pembacaan. Bangsa yang membaca adalah bangsa yang berfikir. Bangsa yang berfikir adalah bangsa yang tidak mudah dipengaruhi. Dan bangsa yang tidak mudah dipengaruhi adalah bangsa yang berdaulat dan bermaruah.
 
“Sebab itu, apabila kita mengangkat tema ini, kita sebenarnya sedang mengajak masyarakat untuk kembali kepada asas bahawa perubahan besar dalam negara ini tidak bermula dari atas, tetapi bermula dari halaman demi halaman sebuah buku,” ujarnya.
 
Dalam pada itu, turut berlangsung pelancaran buku cerita pendek @MayorPakGafar, hasil karya Datuk Bandar Alor Setar sebagai usaha memperkaya khazanah sastera tempatan.
 
Program yang berlangsung sama tiga hari bermula 23 hingga 25 April 2026 itu diadakan di Kompleks City Plaza Alor Setar dengan menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan seni, aktiviti kanak-kanak, jualan buku serta penglibatan penulis dan penggiat seni tempatan.
 
Skip to content